Semakan Semula Peluasan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) Ambil Kira Maklum Balas Rakyat dan Industri

Kementerian Kewangan
June 27, 2025
1.4k
324

Sejak pengumuman pada 9 Jun 2025 berkenaan semakan semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), Kerajaan MADANI telah meneliti dan mengambil kira maklum balas yang diterima daripada rakyat serta pihak industri terhadap peluasan skop ST yang dicadangkan. Sebagai sebahagian daripada usaha memahami pandangan akar umbi, Kementerian Kewangan (MOF) juga telah mengadakan sesi libat urus bersama beberapa Ali Parlimen penyokong kerajaan semalam.

Kerajaan MADANI kekal bersedia untuk memastikan semakan semula SST ini bersifat progresif, serta mengurangkan sebaiknya kesan terhadap barangan keperluan asas rakyat dan beban yang ditanggung oleh perniagaan kecil. Sehubungan itu, Kementerian Kewangan ingin memaklumkan tiga pindaan utama kepada SST yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

Buah-buahan import terpilih dikecualikan daripada Cukai Jualan

Selepas meneliti maklum balas yang diterima berkenaan Cukai Jualan ke atas buah import, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah bersetuju untuk mengecualikan buah epal, oren, limau mandarin dan kurma daripada dikenakan Cukai Jualan.

MOF ingin menggariskan bahawa Kerajaan MADANI tidak mengenakan Cukai Jualan ke atas barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat terbanyak.

Barangan keperluan harian yang dikecualikan daripada Cukai Jualan ini - sama ada dihasilkan dalam negara atau dimport -- termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur. Ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar, juga akan terus dikecualikan.

Ambang jualan tahunan lebih tinggi untuk meringankan beban cukai ke atas perniagaan kecil

Bagi mengurangkan bilangan perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop Cukai Perkhidmatan, YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan juga telah memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bag perkhidmatan

Pajakan atau Sewaan seta Perkhidmatan Kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Jadual Kadar Cukai Perkhidmatan
Perkhidmatan Kadar Cukai Perkhidmatan Nilai Ambang Pendaftaran (Sebelum Ini) Nilai Ambang Pendaftaran (Disemak)
Sewaan atau Pajakan 8% RM500,000 RM1 juta
Perkhidmatan Kewangan 8% ke atas fi atau komisen RM500,000 RM1 juta

Selain itu, ambang jualan tahunan bagi perniagaan yang tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta. Ini bermakna hanya periagaan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan Cukai Perkhidmatan atas perkhidmatan sewaan atau pajakan untuk membolehkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai.

Cukai Perkhidmatan tidak akan diperluas kepada perkhidmatan kecantikan

Selepas meneliti sentimen awam, YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan turut memutuskan untuk tidak meneruskan peluasan skop Cukai Perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku (manicure dan pedicure), rawatan wajah (facial), serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut.

MOF menyeru semua pihak agar membuat kenyataan yang bertanggungjawab dan berpandukan maklumat rasmi berhubung pelaksanaan SST. Orang awam disarankan untuk merujuk pengumuman awam, infografik, perundangan subsidiari, garis panduan, dan soalan lazim (FAQ) yang diterbitkan menerusi saluran rasmi

Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Orang awam dan para peniaga juga boleh menghubungi Pusat Panggilan SST

Jabatan Kastam Diraja Malaysia melalui mana-mana nombor berikut: 03-8323 7406, 03-8323 7414

Pusat Panggilan SST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, 03-8323 7407, 03-8323 7409, 03-8323 7415, 03-8323 7416

Hotline Pusat Panggilan Jabatan Kastam Diraja Malaysia 1-300-888-500, 03-8323 7412, 03-8323 7417

Kementerian Kewangan
June 27, 2025
1.4k
324

Read More News

5 min read
Read More
5 min read
Read More
5 min read
Read More
5 min read
Read More
5 min read
Read More
5 min read
Read More