KUALA LUMPUR – Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) melantik Ashran Ghazi sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu berkuatkuasa 8 Disember 2025.
Ashran mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang teknologi, data dan pembangunan ekosistem inovasi.
Sebelum menyertai MRANTI, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Dattel Asia Group, sebuah syarikat serantau berfokuskan analitik data dan kecerdasan buatan yang membantu perniagaan seantero Asia Tenggara membuat keputusan pemasaran, operasi dan kewangan berasaskan maklumat.
Beliau juga pernah menerajui Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dari tahun 2016 hingga 2018, di mana beliau menerajui pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan ekosistem syarikat pemula dan inovasi negara, serta memperluas kerjasama antarabangsa.
Beliau merupakan graduan University of Michigan, Ann Arbor dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan dan Sistem Maklumat Komputer).
Beliau juga merupakan Ahli Pengasas Konsortium AI Negara, sebuah Komuniti Ekosistem AI yang komited untuk memacu agenda AI nasional melalui dasar, program dan pelaburan strategik.
-MalaysiaGazette








