KOTA KINABALU, 15 Oktober 2024 – MRANTI dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam memacu inovasi dan pengkomersialan penyelidikan di Sabah.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan YBhg. Datuk Wira Dr. Hj. Rais Hussin Bin Hj. Mohamed Ariff, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI.
Kerjasama ini bertujuan melaksanakan projek-projek yang menumpukan kepada keterjaminan makanan, teknologi 4IR, dan juga merupakan salah satu usaha untuk mempercepatkan pengkomersialan inovasi tempatan.
Antara intipati utama perjanjian yang telah ditetapkan ini adalah seperti berikut:
- Kerjasama dalam bidang teknologi pertanian 4IR (agritech) untuk menangani isu keterjaminan makanan bersama pemain ekosistem yang menggunakan fasiliti UMS di Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Sandakan dan Mesilau;
- Kerjasama dengan Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS untuk memperkukuh rantaian bekalan akuakultur bagi kecekapan pasaran tempatan dan global;
- Kolaborasi dengan Pusat Pengurusan Inovasi dan Komersialisasi UMS untuk membangunkan program peningkatan kapasiti bagi memacu komersialisasi R&D tempatan;
- MRANTI juga akan mereka bentuk inisiatif dan latihan bersesuaian yang berorientasikan teknologi;
- MRANTI turut berperanan sebagai perantara dalam menjalinkan hubungan bersama rakan ekosistem seperti pembekal penyelesaian dan pihak berkepentingan lain.
Ketua Menteri Sabah turut menekankan bahawa selaras dengan Dasar Keterjaminan Makanan Nasional, Sabah berhasrat untuk meningkatkan tahap sara diri makanan di negeri tersebut dengan menggalakkan inovasi dalam pengeluaran tanaman, penternakan dan perikanan.
Beliau juga menegaskan agar teknologi moden dalam sektor pertanian seperti penggunaan smart farming wajar diperkasakan bagi meningkatkan hasil dan kualiti produk selain memastikan amalan pertanaian yang mampan dan mesra alam.
Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI turut menyatakan bahawa kerjasama yang dijalinkan bersama pemain ekosistem tempatan yang melibatkan penggunaan fasiliti UMS di Mesilau penting dalam memodenkan projek-projek pertanian berasaskan teknologi 4IR di Sabah.
Supercharger Sabah dijangka melahirkan usahawan dan inovator yang kompetitif di peringkat global, sambil memberi impak positif kepada ekonomi Sabah melalui teknologi dan inovasi. Program ini juga menawarkan peluang pembiayaan, sokongan teknikal, dan akses ke pasaran strategik. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://mranti.my/
MENGENAI MRANTI
Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation - MRANTI, merupakan agensi pusat pengkomersialan penyelidikan Malaysia yang mempercepatkan pembangunan inovasi teknologi daripada idea ke impak.
MRANTI berfungsi sebagai penyambung, inkubator dan pemangkin bagi membolehkan idea peringkat awal hingga ke tahap entiti matang untuk dikomersialkan dan berkembang. MRANTI menawarkan capaian kepada infrastruktur bersepadu bertaraf dunia, intervensi dan program, kerjasama dan pelbagai rangkaian sumber kepada inovator dan industri.
Dalam usaha ini, MRANTI mensasarkan untuk meningkatkan saluran bekalan inovasi Malaysia, dan menghasilkan nilai R&D baharu dengan memastikan peralihan yang berkesan dalam kitaran hayat pengkomersialan. Ia juga akan menghubungkan ahli akademia dengan industri serta sektor awam untuk menyelaraskan usaha R&D yang dipacu pasaran untuk hasil yang berteraskan misi.
MRANTI yang beribu pejabat di MRANTI Park, merupakan sebuah hab inovasi 4IR seluas 686 ekar di Kuala Lumpur, menyokong pertumbuhan kluster pembuatan pintar, bioteknologi, agritek, bandar pintar, teknologi hijau dan kluster teknologi pembolehan.
Pertanyaan Media:
Bahagian Komunikasi Strategik MRANTI
Nama: Adit Rahim
Emel: adit@mranti.my
No Telefon: +6013-6666667
Nama: Farhana Syed
Emel: farhanasyed@mranti.my
No Telefon: +6019-2220292