MOSTI MEMACU INOVASI MALAYSIA MELALUI SIRI SUPERCHARGER 2024 DAN SIDANG KEMUNCAK MCY
27 Jun 2024, Kuala Lumpur - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Siri Supercharger 2024 bertemakan “Visions to Venture: The Pre-Commercialisation Drive”. Siri ini merupakan inisiatif strategik yang direka untuk menggalakkan kerjasama, penglibatan, dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I) Malaysia.
Dengan fokus utama untuk memudahkan perjalanan pengkomersialan dari idea hingga ke pasaran (#IdeasToImpact), siri ini dijangka akan merevolusikan fasa pra-pengkomersialan inovasi Malaysia, dan bagi tahun ini pula, ia bertujuan mencipta impak yang signifikan dan menyeluruh melalui:
- Pemerkasaan Bakat Teknologi Tempatan: meningkatkan peratusan teknousahawan serta peningkatan ketara dalam mewujudkan syarikat pemula dan syarikat terbitan universiti (university spin-offs) .
- Meningkatkan Kadar Pengkomersialan Malaysia: menghebatkan hasil R&D dengan nilai komersial yang lebih tinggi dan juga membangunkan pelbagai inovasi di tahap-tahap ketersediaan teknologi berperingkat.
- Meningkatkan Pertumbuhan Ekonomi melalui Pengkomersialan R&D: melibatkan kerjasama dan keterlibatan dalam ekosistem R&D&C&I yang lebih menyeluruh agar ia mampu membawa kepada lebih banyak penyertaan berkualiti dalam program dan inisiatif oleh TIPM serta rakan-rakan ekosistem yang lain.
- Penciptaan Pekerjaan Berkemahiran Tinggi: menggalakkan pertukaran ilmu antara peserta dari institusi penyelidikan antarabangsa, sambil memperkasakan komuniti Bumiputera.
Inisiatif ini menyediakan peluang berharga untuk syarikat terbitan universiti, penyelidik, sektor swasta serta agensi-agensi untuk mempelajari, mengenalpasti cabaran, dan mempercepatkan usaha pengkomersialan mereka.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, “Berdasarkan Indeks Inovasi Global 2023, Malaysia menduduki tangga ke-36 daripada 132 ekonomi. Mengambil kira kejayaan ini, kita masih mempunyai ruang dan peluang untuk penambahbaikan. Oleh itu, adalah amat penting untuk sektor sains, teknologi, dan inovasi (STI) ditangani melalui Pendekatan Keseluruhan Kerajaan (WGA), demi memastikan kerjasama antara pelbagai kementerian dan agensi dapat diperkukuhkan dalam menangani isu-isu mendesak di kalangan masyarakat melalui pembangunan STI, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara (2021-2030) (DSTIN)”, kata beliau.
Siri Supercharger menawarkan Sesi Perkongsian, Reruai Permohonan & Konsultasi Program TIPM, Sesi Suai Kenal, dan Bootcamp Pra-Pengkomersilan, membolehkan para inovator bertukar pendapat, mendapat konsultasi dan peluang untuk bersuai kenal dengan pemain industri.
Datuk Wira Dr. Hj. Rais Hussin Hj. Mohamed Ariff, Ketua Pegawai Eksekutif TIPM: “Siri Supercharger menandakan komitmen TIPM untuk menyediakan kemudahan, pengetahuan, dan rangkaian yang diperlukan untuk mengubah idea inovatif menjadi produk dan perkhidmatan yang berimpak. Pertumbuhan Siri Supercharger memang luar biasa, dengan peningkatan penyertaan tiga kali ganda dari 500 pada tahun 2022 kepada lebih 1,500 pada tahun 2023 di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang, dan Johor,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 turut dilancarkan oleh YB Menteri. Dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Sidang Kemuncak MCY bertujuan meraikan dan mempromosikan kisah kejayaan pengkomersialan dari universiti, institusi, dan agensi penyelidikan Malaysia. Bertemakan “Leading the Regional Innovation,” sidang kemuncak ini memberi tumpuan kepada sektor utama seperti bioteknologi, ekonomi hidrogen, dan teknologi angkasa.
Berteraskan inovasi sebagai nadi pembangunan ekonomi, Siri Supercharger 2024 dan Sidang Kemuncak MCY 2024 merupakan langkah-langkah penting yang perlu diambil untuk Malaysia muncul sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan pengetahuan. Para pemegang taruh termasuk penyelidik, usahawan, pelabur, dan pembuat dasar digalakkan mengambil peluang untuk turut terlibat secara aktif melalui peluang yang disediakan oleh MCY 2024. Peserta yang berminat kini boleh mula mendaftarkan penyertaan untuk Sidang Kemuncak MCY 2024 melalui laman sesawang mranti.my/mcysummit2024.
#TAMAT#
Disediakan oleh
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
27 Jun 2024
MENGENAI TECHNOLOGY INNOVATION PARK MALAYSIA (TIPM/MRANTI)
Technology Innovation Park Malaysia (TiPM) yang turut dikenali sebagai Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation - MRANTI, iaitu gabungan Technology Park Malaysia (TPM) Corporation Sdn Bhd dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC), merupakan agensi pusat pengkomersialan penyelidikan Malaysia yang memudahcarakan dan mempercepatkan pembangunan inovasi teknologi daripada idea ke impak.
TiPM/MRANTI berfungsi sebagai penyambung, inkubator dan pemangkin bagi membolehkan pengkomersialan dan perkembangan idea peringkat awal hingga ke tahap entiti matang. Ia juga menawarkan capaian kepada para pendukung inovasi dan pemain industri kepada infrastruktur bersepadu bertaraf dunia, program, perkhidmatan, kerjasama dan pelbagai sumber sokongan.
TiPM/MRANTI mensasarkan untuk meningkatkan saluran bekalan inovasi Malaysia, dan menghasilkan nilai R&D baharu dengan memastikan peralihan yang berkesan dalam kitaran hayat pengkomersialan. Ia juga akan menghubungkan ahli akademia dengan industri serta sektor awam untuk menyelaraskan usaha R&D yang dipacu pasaran untuk hasil berteraskan misi.
Dengan ibu pejabat di MRANTI Park, TiPM/MRANTI merangkumi sebuah hab inovasi 4IR seluas 686 ekar di Kuala Lumpur, menyokong pertumbuhan kluster pembuatan pintar, bioteknologi, agritek, bandar pintar, teknologi hijau dan kluster teknologi pembolehan. Nantikan perkembangan terkini daripada kami. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://mranti.my/
Pertanyaan Media:
Bahagian Komunikasi Strategik MRANTI
Adit Rahim
(+6013 - 666 6667)
Farhana Syed Nokman
(+6019 - 222 0292)