5 mins read

UOB Malaysia Bekerjasama Dengan SJPP Sediakan Pembiayaan Hijau RM1 Bilion Kepada PKS

September 19, 2022
www.majalahlabur.com
5 mins read

Kuala Lumpur, Malaysia, 19 September 2022 – UOB Malaysia akan bekerjasama dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Malaysia (SJPP) untuk melancarkan program U-Green Financing yang akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjayakan usaha kemampanan mereka. Bank telah memperuntukkan RM1 bilion untuk program ini manakala SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus daripada pinjaman melalui Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS).

UOB Malaysia adalah bank pertama untuk bekerjasama dengan SJPP dalam program pembiayaan hijau tersebut.

U-Green Financing disediakan untuk PKS dan syarikat bersaiz sederhana yang layak daripada semua industri yang ingin menyumbang kepada pembangunan bandar pintar dan mampan. Syarikat yang ingin membangunkan atau membina bangunan hijau, memudahkan perdagangan hijau, ataupun menyumbang kepada ekonomi pekeliling juga layak untuk berbuat demikian. Terbuka kepada kedua-dua pelanggan sedia ada dan baharu UOB Malaysia, kemudahan ini disediakan dalam bentuk pinjaman berjangka, kemudahan overdraf dan pembiayaan perdagangan.

Di samping menyediakan pembiayaan, UOB Malaysia juga akan bekerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) untuk memperkenalkan siri bengkel berkenaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Siri bengkel ini bertujuan melengkapkan PKS dengan pengetahuan dan maklumat praktikal bagi memulakan perjalanan ESG mereka. Melalui siri bengkel ini, PKS dapat meraih manfaat daripada silibus yang dibangunkan bersama oleh MRANTI dan penyedia latihan yang diluluskan.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “UOB Malaysia bangga dengan usaha sama bersinergi ini dengan SJPP dan MRANTI, yang memainkan peranan penting dan saling melengkapi dalam menyokong penerimaan ESG oleh PKS. Bengkel anjuran MRANTI akan membantu PKS memperoleh pengetahuan yang diperlukan dalam penerimaan ESG, manakala kerjasama kami dengan SJPP akan menyediakan sokongan pembiayaan untuk membantu mereka memulakan usaha kemampanan mereka.”

“Kami berbesar hati menjadi bank pertama yang bekerjasama dengan SJPP dalam melancarkan program pembiayaan hijau untuk PKS. Dengan menjadikan pembiayaan hijau lebih mudah diakses, kami berharap ia dapat menggalakkan PKS menerima amalan perniagaan yang mampan. Ini akan meningkatkan profil ESG mereka, terutamanya jika mereka berminat untuk menyertai dan bersaing dalam rantaian nilai global.”

Selain U-Green Financing, UOB Malaysia juga merupakan Institusi Kewangan Peserta bagi Kemudahan Peralihan Rendah Karbon Bank Negara Malaysia, serta Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau.

Encik Chen Yin Heng, Pegawai Utama SJPP, berkata bahawa cadangan kerjasama ini adalah selaras dengan matlamat negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“SJPP, melalui skim jaminannya, komited dalam menyokong usaha kerajaan menggiatkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor PKS. Pelbagai inisiatif dan polisi strategik dilaksanakan dengan tujuan merangsang dan membangunkan peluang perniagaan untuk sektor ini. Kami berharap U-Green Financing akan menggalakkan penerimaan amalan ESG oleh lebih banyak PKS dan syarikat korporat bersaiz sederhana selain mengurangkan jejak karbon mereka. Di samping itu, kami juga berbesar hati melihat institusi kewangan seperti UOB Malaysia dan organisasi seperti MRANTI mengambil langkah ke hadapan dan menggunakan kelebihan bersinergi mereka untuk terus menyokong aspirasi murni ini.”

Siri bengkel dengan MRANTI menyediakan pemahaman tentang amalan terbaik ESG

Siri bengkel yang dirancang dengan MRANTI akan menggabungkan pengajaran dalam kelas, bengkel menggunakan kajian kes sebenar, serta bimbingan praktikal yang memberi pemahaman tentang amalan terbaik ESG kepada peserta. Ia merangkumi pelbagai topik seperti Pengenalan kepada Kemampanan untuk Perniagaan, Pengenalpastian Materialiti ESG, Pengurusan Teknologi Hijau, Pengurusan Sisa, dan Strategi Impak Sosial.

Setelah selesai, para peserta akan mendapat sijil daripada MRANTI termasuk pengesahan daripada rakan kongsi latihan yang diluluskan. Ini membolehkan peserta menggunakan pengetahuan mereka untuk melanjutkan pembelajaran dalam kursus ESG rasmi yang lain.

Puan Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif, MRANTI, berkata pemecut penyelidikan ini komited meningkatkan kesedaran ESG di kalangan PKS melalui bengkel, jerayawara dan program kemampanan.

“MRANTI menyasar untuk menjadi pusat sehenti bagi pecutan teknologi dan inovasi. Ke arah ini, kami bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi ekosistem tanpa mengira peringkat inovasi atau penyelesaian mereka, dan merentasi kitaran hayat kesediaan inovasi. Siri bengkel ESG yang dibangunkan dengan UOB Malaysia akan membantu perniagaan, terutamanya PKS, memperoleh pengetahuan dan pemahaman pasaran yang diperlukan, menerima nasihat, menghubungi pemain teknologi, dan mendapatkan U-Green Financing bagi membantu peralihan mereka mencapai kemampanan.”

Up Next