KUALA LUMPUR: Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik mampu mencipta peluang ekonomi di Malaysia berikutan dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan meningkatkan pengalaman pelanggan.
Selain itu, ia mampu memacu pertumbuhan merentas pelbagai sektor termasuk pembuatan dan pertanian kepada penjagaan kesihatan serta pendidikan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, berkata laporan terbaru oleh PwC menganggarkan bahawa AI boleh menyumbang sehingga AS$15.7 trilion kepada ekonomi global menjelang 2030.
Katanya, potensi ekonomi yang besar itu mampu mengukuhkan keperluan dalam memaksimumkan penggunaan teknologi itu terutama untuk ekonomi Malaysia.
"Kerajaan amat berminat untuk memacu inisiatif yang memupuk dan menarik bakat dalam AI dan robotik.
"Oleh itu ketika ini MOSTI sedang melaksanakan pelbagai program untuk memupuk ekosistem yang kondusif di mana institusi akademik, pemain industri dan kerajaan boleh bekerjasama untuk melengkapkan belia kita dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan AI dan Robotik untuk Industri 4.0 2023 (AIR2023) dan Simposium Penyelidikan The 2nd MACE 2023 (MaRS2023) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di UTM Hotel dan Residence di sini, hari ini.
Turut hadir, Pro-Naib Canselor Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof Dr Abd Latif Saleh.
Lih Kang berkata, di luar implikasi ekonomi pula, adalah penting untuk menekankan keperluan untuk menanamkan bakat dalam domain berkenaan.
Katanya, memandangkan AI dan robotik terus meresapi kehidupan masyarakat, permintaan untuk individu yang mahir dalam bidang itu juga semakin meningkat.
"Oleh itu, untuk bersaing dengan permintaan industri, adalah penting untuk memastikan sistem pendidikan, program latihan dan dasar kita sejajar untuk menghasilkan tenaga kerja yang mampu berinovasi dan memanfaatkan teknologi ini dengan berkesan.
"Kita perlu terus memupuk ekosistem kerjasama sedemikian di mana industri, akademik dan kerajaan bekerjasama, bukan sahaja untuk membina kumpulan bakat berkemahiran tinggi tetapi juga untuk memastikan teknologi baru muncul ini dibangunkan secara bertanggungjawab untuk manfaat semua," katanya.
Sementara itu, AIR2023 dan MaRS2023 adalah dua persidangan yang diadakan serentak selama dua hari anjuran bersama antara Pusat Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO UTM); Persatuan Jurutera Kawalan Automatik Malaysia (MACE); Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM serta Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MySET).
Pengerusi AIR2023 dan MaRS2023, Prof Dr Hazlina Selamat, berkata persidangan yang disokong oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) itu bertujuan untuk menerangkan mengenai kemajuan termaju yang dicapai dalam Al, robotik, mesin dengan teknologi terkini, simulasi dan kemampanan.
Katanya, AIR2023 memfokuskan kepada penyertaan daripada industri khususnya dalam pembuatan pintar, MaRS2023 pula memfokuskan kepada penemuan teknologi terkini dalam bidang akademik.