5 mins read

Taman MRANTI dijangka cipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu – PM

October 6, 2022
Utusan TV
5 mins read

INISIATIF membangunkan Taman MRANTI yang merupakan taman teknologi dan inovasi utama di Malaysia dijangka dapat mencipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Taman MRANTI merupakan hab inovasi terunggul yang akan memberi tumpuan kepada tiga teras pembangunan iaitu Inovasi, Kemampanan Alam Sekitar dan Budaya Urban (atau Setempat).

Jelas beliau, taman itu dilengkapi dengan infrastruktur moden, termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G.

Tambahnya, ia juga mempunyai insentif dan peluang pembiayaan selain direka untuk menarik golongan profesional muda, serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi.

“Kawasan seluas 686 ekar ini telah menarik minat banyak syarikat teknologi, termasuk Intervenn Biosciences, Dedikasi Aba Biosciences, BoomGrow, Spygene Laboratories, Vivantis Technologies dan Reszon.

“Terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Malaysia, sebuah hab perniagaan global dan pemangkin transformasi Greater KL, Taman MRANTI berperanan menyelaras keluaran R&D ke pasaran menerusi ekosistem bersepadu, yang memusatkan semua aktiviti teknologi dan inovasi secara setempat.

“Taman MRANTI ini juga menyaksikan kerjasama dengan lima buah koridor ekonomi iaitu NCER, ECER, SDC, Iskandar Malaysia, SCORE dalam mempromosi dan mengguna pakai keluaran teknologi R&D serta pengkomersialan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Pelan Induk Taman MRANTI pagi tadi.

Mengulas lanjut, Perdana Mnteri berkta, lima kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI, iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh 4IR dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 bilion dan nilai pulangan sebanyak RM2.8 bilion melalui pajakan tanah oleh MRANTI kepada para pelabur.

Jelas beliau, usaha itu akan dipacu MIMOS Global yang berperanan penting membantu negara menjana nilai tambah yang tinggi daripada aktiviti pembangunan dan pengkomersialan teknologi, khususnya dalam sektor Elektrik & Elektronik (E&E).

Tambahnya, Sektor E&E merupakan penyumbang terbesar kepada eksport negara dengan nilai sebanyak RM455.7 bilion pada tahun 2021 dan berpotensi besar untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi.

Up Next