Kuala Lumpur: Rangkaian televisyen tempatan SUKE TV menandatangani memorandum perjanjian bersama entiti penyelidikan dan pembuatan kontrak dalam kumpulan syarikat Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI Nexus) bagi menyokong usahawan tempatan untuk mempercepatkan kemasukan inovasi mereka ke pasaran.
Pengasas dan Pengerusi SUKE TV, Datuk AC Mizal berkata, SUKE TV mengambil inisiatif mencipta sebuah platform supaya peniaga tempatan dapat mempelopori inovasi dan memperkasakan ekonomi sekali gus meningkatkan kesedaran jenama tempatan.
"Idea unik SUKE TV untuk membawa pengalaman beli-belah terus ke rumah pelanggan melalui saluran hiburan televisyen diyakini akan menyumbang kepada peningkatan pembabitan penonton, jualan dan pemasaran produk-produk buatan Malaysia.
"Dengan kehadiran MRANTI Nexus, tiada halangan untuk merealisasikan pencapaian visi kami untuk terus mengukuhkan idea usahawan tempatan, bukan saja dalam Malaysia tetapi juga di mata dunia.
"MRANTI Nexus adalah perintis industri yang memiliki kepakaran dan kemudahan. Kami amat bangga dengan kerjasama yang termeterai," katanya.
AC Mizal berkata, MRANTI Nexus turut menawarkan rangkaian lengkap perkhidmatan makmal, perkhidmatan kawal selia dan pendaftaran produk, perekaan dan pembangunan produk, pembungkusan produk, peralatan pengeluaran gred tinggi serta perkhidmatan OEM produk teknologi bio dan herba. Sementara itu, Ketua MRANTI Nexus, Muhamad Husni Md Zain berkata, pihaknya yakin terhadap peluang kerjasama dengan organisasi inovatif seperti SUKE TV untuk penambah baikan sektor perniagaan tempatan.
"MRANTI Nexus berpandukan kepada pertukaran 'idea ke impak' melalui penyediaan sokongan dan kerjasama erat dalam membantu penyelidik dan usahawan membangunkan produk dan penyelesaian mereka lebih segera ke pasaran, serta menjadikan ia lebih tersedia, mampu milik dan senang diakses pelanggan.
"Kami percaya lebih ramai inovator dan usahawan tempatan akan mendapat manfaat daripada platform SUKE TV untuk menjangkau pasaran yang lebih luas melalui kerjasama ini," katanya dalam sidang media.
Hadir sama, Pengarah SUKE TV, Datin Emylia Rosnaida dan Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Nexus, Dzuleira Abu Bakar.
SUKE TV bakal memulakan siarannya dengan fokus utama kepada kandungan beli-belah, hujung bulan ini.
Disiarkan pada: Mac 9, 2022 @ 1:53pm