5 mins read

Program Rintis Sandbox Digital Iot Bakal Meningkat Keupayaan Pembangunan Teknologi Belia Sabah

March 3, 2022
www.malaysian-business.com
5 mins read
Program Rintis Sandbox Digital Iot Bakal Meningkat  Keupayaan Pembangunan Teknologi Belia Sabah

3 MAC 2022, KOTA KINABALU – Kementerian Sains, Teknologi dan  Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan  Inovasi Sabah (KSTI) melancarkan Program Rintis Sandbox Digital IoT  (Sandbox IoT) yang pertama di Malaysia Timur.

Program ini bertujuan untuk merancakkan pembangunan inovasi bagi membentuk ekonomi negeri Sabah serta menggalakkan penyelidikan  dan pembangunan (R&D) dalam bidang sains, teknologi dan inovasi  (STI). Melalui Sandbox IOT ini, dijangka akan menggalakkan pembabitan belia untuk menguji produk/teknologi baharu yang dapat  memacu ekonomi negeri, meningkatkan produktiviti sektor awam dan  swasta serta secara tidak langsung dapat menggalakkan pembudayaan  STI selain daripada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan  berkemahiran tinggi.  

“Pelancaran Digital IoT Sandbox ini merupakan sebahagian daripada  pengisian program Flagship di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju  Jaya untuk menggalakkan pembudayaan STI di kalangan masyarakat di  Sabah. Digital IoT Sandbox akan menjadi platform kepada inovator dan  usahawan digital menghasilkan produk dan seterusnya menguji  kebolehlaksanaannya produk tersebut,” kata Datuk Haji Yakub Khan.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, “Sandbox IoT ini dijangka akan  mengubah kehidupan rakyat Sabah melalui penggunaan dan  pembangunan teknologi. Ia akan menjadi pemangkin kepada  pembangunan ekosistem Internet Benda (IoT) dan secara langsung  menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi inovasi negeri Sabah.  

Beliau turut berkata usaha pendigitalan akan memanfaatkan, antaranya,  sektor-sektor perkhidmatan, pertanian, perlombongan dan pelancongan.  Percambahan aplikasi IoT dalam perindustrian di negeri Sabah dijangka  akan menyumbang RM9.8 bilion kepada pendapatan negara kasar pada  2025. Sandbox IoT bakal bertindak sebagai pusat bersepadu untuk  penyelesaian berasaskan IoT, yang dilengkapi dengan perkhidmatan  dan kemudahan sokongan seperti ujian kebolehoperasian dan  pembangunan produk dan perkhidmatan IoT.

Antara impak awal yang disasarkan Sandbox IoT ini adalah  pembangunan 20 proof-of-concept melalui pelaksanaan 50 program  pembangunan kapasiti yang melibatkan masyarakat setempat.

Penggunaan aplikasi IoT adalah selaras dengan inisiatif kerajaan pusat  untuk menerimapakai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam pelbagai  sektor utama di seluruh negara. “Melalui IoT, syarikat-syarikat boleh  mengautomasikan proses operasi dan ini secara langsung akan  mengurangkan kos buruh. Ia juga mengurangkan pembaziran dan  menambahbaik penyampaian perkhidmatan, meningkatkan daya saing  dengan menurunkan kos pembuatan barangan, serta meningkatkan  ketelusan dengan pelanggan,” katanya.

Tambah beliau, Sandbox IoT ini adalah sebahagian daripada inisiatif  Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di bawah MOSTI.

Teks ucapan YBM MOSTI di bacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Zainal  Abidin Abu Hassan semasa merasmikan Majlis pelancaran Sandbox IoT  bersama YB Datuk Haji Yakub Khan, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi  Sabah.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman  antara KSTI dengan Universiti Teknologi MARA cawangan Sabah dan  KSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and  Innovation (MRANTI).

Kerjasama di antara MRANTI dan KSTI akan bertumpu kepada sokongan pengkomersilan kepada pengamal teknologi tempatan, dan  seterusnya menjana peluang ekonomi baharu untuk rakyat Sabah  dengan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.  

Up Next