5 mins read

Penubuhan MRANTI untuk memudahcara proses pencetusan idea - Dr Adham

November 9, 2021
Astro Awani
5 mins read

KUALA LUMPUR: Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) ditubuhkan bagi memudahcara proses pencetusan idea sehingga ke penghasilan impak melalui penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata MRANTI yang ditubuhkan melalui penggabungan dua agensi di bawah kementerian iaitu Technology Park Malaysia dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) dijangka beroperasi tahun depan.

"Melalui MRANTI, 'Return on Ideas' atau pulangan daripada idea secara umumnya merujuk kepada pertukaran pengetahuan kepada perolehan fiskal.

"MRANTI ditubuhkan sebagai landasan pelancaran teknologi dan inovasi untuk membantu perusahaan, penyelidik dan pencipta memaksimumkan pulangan idea pada kadar yang lebih cepat, dengan mengoptimumkan sinergi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adham berkata penubuhan MRANTI di bawah program Pemecut Pengkomersialan Teknologi (TCA) itu selaras dengan strategi di bawah pemangkin dasar membangunkan tenaga kerja masa hadapan.

Katanya, ia juga selaras dengan strategi kerajaan untuk mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Beliau berkata selain menawarkan program pembangunan kapasiti dan bantuan untuk menembusi pasaran, MRANTI juga akan menawarkan kemudahan fasiliti prototaip dan lapangan ujian langsung serta kemudahan dan perkhidmatan infrastruktur lain kepada para penyelidik dan inovator.

Up Next