5 mins read

Negara perlu sekurang-kurangnya 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi - PM

October 6, 2022
Berita Harian Online
5 mins read
Ismail Sabri (tengah) melancarkan pelan induk Taman Teknologi MRANTI dan penjenamaan baharu MIMOS Berhad di MRANTI Park Bukit Jalil. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ismail Sabri (tengah) melancarkan pelan induk Taman Teknologi MRANTI dan penjenamaan baharu MIMOS Berhad di MRANTI Park Bukit Jalil. NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi jika mahu bersaing dengan negara terkemuka dunia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia hanya mewakili 29.6 peratus saja.

Justeru, beliau berkata, amat penting untuk negara merancakkan semula ekosistem teknologi dan inovasi, bukan saja menerusi bekalan bakat yang berterusan, tetapi juga berusaha mengurangkan 'brain drain' dalam kalangan bakat hebat tempatan.

"Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan komited menyediakan infrastruktur terbaik untuk memacu inovasi tempatan. Apa yang diperlukan sudah pasti sebuah lokasi sebagai hab inovasi dengan infrastruktur bersepadu.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sudah meluluskan 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bernilai RM5.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Melalui National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), sebanyak 163 syarikat sudah diluluskan dan menerima sokongan pembiayaan RM67 juta, bantuan kawal selia, teknikal dan kepakaran," katanya.

Ismail Sabri berkata, Kuala Lumpur adalah lokasi terbaik bagi inisiatif taman teknologi dan inovasi apabila disenaraikan sebagai antara 10 hab inovasi terunggul di Asia Pasifik berdasarkan Tinjauan Industri Teknologi Global 2021 oleh KPMG.

"Taman MRANTI ini adalah hab inovasi terunggul di Malaysia yang akan memberi tumpuan kepada tiga teras pembangunan iaitu inovasi, kemampanan alam sekitar dan budaya urban (atau setempat).

"Kawasan seluas 277.6 hektar ini sudah menarik minat banyak syarikat teknologi, termasuk Intervenn Biosciences, Dedikasi Aba Biosciences, BoomGrow, Spygene Laboratories, Vivantis Technologies dan Reszon. Tahun ini, beberapa lagi syarikat teknologi antarabangsa menunjukkan minat bertapak di kawasan ini," katanya.

Katanya, Pelan Induk baharu Taman MRANTI juga memupuk keupayaan Malaysia dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan juga teknologi terkini daripada sistem Internet Pelbagai Benda (IoT), perkhidmatan Protokol Internet (IP) dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih.

"Taman MRANTI dilengkapi infrastruktur moden, termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G serta insentif dan peluang pembiayaan, juga direka untuk menarik golongan profesional muda, serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi, dijangka dapat mencipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu," katanya.

Ismail Sabri berkata, lima kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI, iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh IR4.0 dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 bilion dan nilai pulangan sebanyak RM2.8 bilion melalui pajakan tanah oleh MRANTI kepada pelabur.

Up Next