5 mins read

'MRC bantu PMKS tingkat kemajuan teknologi perkasa pengeluaran getah'

December 8, 2022
Berita Harian
5 mins read

KUALA LUMPUR: Pasaran yang kompetitif mendesak pengeluar getah termasuk bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan kemajuan teknologi untuk memperkasakan pengeluaran yang lebih cekap, responsif dan tepat serta mempunyai kawalan yang lebih baik ke atas operasi.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Nor Hizwan Ahmad, berkata pihaknya berusaha meningkatkan penggunaan teknologi berasaskan getah di antara pemain industri di Malaysia, selain mempromosikan pasaran getah serta produk getah negara yang terbukti berkualiti di pasaran dunia.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan insentif dana bantuan untuk membantu pemain industri getah dalam meningkatkan rantaian nilai global.

"MRC berusaha meningkatkan penggunaan teknologi berasaskan getah dan mengadakan Hari Padanan Pengkomersilan (COMMATCH) 2022 dengan kerjasama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).


"COMMATCH 2022 adalah inisiatif pemula daripada MRC untuk meningkatkan penggunaan teknologi ini, dengan mengumpulkan sembilan pakar daripada industri berkaitan untuk berkongsi maklumat, pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai kepentingan inovasi serta saluran sokongan dan bantuan tersedia untuk pengkomersilan produk.

"Saya percaya dengan usaha sama antara MRC dan rakan strategiknya yang lain, kita mampu membentuk satu langkah hebat dalam merangka dan memacu gerakan progresif untuk memajukan industri getah Malaysia, selaras dengan polisi Dasar Pertanian Negara 2021 – 2030 (DAKN 2030)," katanya selepas majlis itu di Taman MRANTI, Bukit Jalil, hari ini.

Pada majlis itu, turut diadakan pertukaran Perjanjian Kolaborasi Pengkomersialan (CCA) antara MRC dan Lembaga Getah Malaysia (LGM), selain bertukar dua memorandum persefahaman (MoU) dengan MRANTI dan NanoMalaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar, berkata melalui kerjasama dengan MRC, pihaknya diamanahkan menyediakan platform pengkomersilan teknologi dan akses pasaran termasuk pasaran IP, nasihat dan pemadanan perniagaan dengan industri.

Beliau berkata, ia bertujuan mengkomersialkan IP daripada rangkaian industri MRC dan penyelidik LGM, institut penyelidikan kerajaan dan universiti berkaitan inovasi getah.

Katanya, pihaknya yakin mampu mengenal pasti keperluan industri dan masyarakat dengan memadankan pembekal dengan pengeluar.

"Kami yakin ini boleh membentuk, membangun dan menyelaraskan usaha kami dengan lebih baik untuk meningkatkan kadar pulangan yang lebih tinggi bagi idea dan inovasi.

"MRANTI juga mempromosikan penyelesaian "Ideas to Impact" dengan menyediakan kemudahan

pembiayaan dan khidmat nasihat dalam usaha pengkomersilan (secara tempatan dan global) untuk inovasi produk getah serta menyediakan akses kepakaran dan pembangunan," katanya.