5 mins read

MRANTI jalin kerjasama dengan Sunway untuk Sandbox Bandar Pintar

June 21, 2022
www.msn.com
5 mins read
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah, belakang) di majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan Sunway Innovation Labs (iLabs) untuk Sandbox Bandar Pintar menerusi Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS). NSTP/IHSAN MRANTI
© Provided by Berita Harian. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah, belakang) di majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan Sunway Innovation Labs (iLabs) untuk Sandbox Bandar Pintar menerusi Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS). NSTP/IHSAN MRANTI

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi di bawahnya Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), hari ini, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sunway Innovation Labs (iLabs) untuk Sandbox Bandar Pintar menerusi Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata NTIS yang diterajui MOSTI membolehkan penyelidik, penggerak inovasi, 'startups' dan usahawan berteknologi tinggi menguji produk, teknologi atau perkhidmatan dalam persekitaran sebenar dan terkawal melalui kemudahan pembiayaan atau fasilitasi regulatori yang berkaitan.

Katanya, ia bertujuan untuk mempercepatkan pengadaptasian serta penggunaan teknologi dan inovasi tempatan, terutama teknologi terkehadapan.

"Kerajaan melihat pewujudan bandar pintar sebagai satu pendekatan untuk meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran yang mampan dan selamat serta menggalakkan pengurusan lebih cekap di kawasan bandar.

"Berdasarkan laporan Dasar Perbandaran Negara Kedua, jumlah penduduk Malaysia yang tinggal di bandar dijangka meningkat daripada 20.29 juta pada tahun 2010 kepada 27.3 juta menjelang tahun 2025 dan kini, lebih 70 peratus daripada penduduk di negara ini tinggal di kawasan bandar.

"Oleh itu dengan wujudnya bandar pintar dalam negara ini akan membolehkan penggunaan teknologi yang dibangunkan oleh bakat tempatan melalui inisiatif MOSTI seperti NTIS untuk membantu pihak berkuasa dalam menangani isu perbandaran dan meningkatkan kualiti hidup," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Rintis Sandbox Bandar Pintar Lestari menerusi NTIS di Sunway FutureX, Bandar Sunway, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Ahmad Amzad Mohamed; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr Mohd Nor Azman Hassan dan Naib Pengerusi, Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman M Hashim.

Adham berkata, kerjasama itu akan membolehkan peserta dihubungkan dengan ekosistem Sunway yang terdiri daripada 13 bahagian perniagaan dan menguji inovasi syarikat tersebut di Bandar Sunway Kuala Lumpur, sebuah bandar pintar lestari.

Selain itu, katanya, usaha ini dilihat mampu menjadikan Bandar Sunway Kuala Lumpur sebagai makmal alami (living lab), membawa masuk bakat muda, tenaga intelektual, kepakaran penyelidikan, makmal inovasi dan aktiviti komersial untuk menjana penyelesaian sebenar di kawasan bandar pada masa hadapan di samping membawa penambahbaikan kepada alam sekitar dan masyarakat.

"Program Rintis Sandbox Bandar Pintar Lestari ini juga boleh memberi banyak manfaat termasuk mencapai sasaran komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon dan menghala ke arah sifar emisi karbon pada tahun 2050, sekali gus memacu Malaysia ke arah negara yang lebih hijau selaras Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Selain itu, rangka tindakan Perbandaran Sunway boleh diadaptasi di seluruh Malaysia bagi tujuan keselamatan dan keselesaan, lantas meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk dan pada masa sama memelihara alam sekitar.

"Selain itu dapat mempercepat keperluan bagi bangunan di Malaysia untuk menjadi lebih mesra pengguna, mengadaptasi keperluan pengguna, menjadi pusat mencipta kekayaan dan pusat kebudayaan serta kesejahteraan sosial," katanya.

Justeru beliau berharap, kerjasama strategik bersama Sunway iLabs itu dapat melahirkan lebih banyak penyedia penyelesaian pintar yang dapat membantu memecut pembangunan bandar pintar di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar, berkata NTIS adalah platform kritikal untuk mempercepatkan usaha mengubah negaradaripada menjadi pengguna teknologi kepada penghasil teknologi.

Katanya, menerusi kerjasama itu, inovasi yang dibangunkan oleh syarikat pemula Sunway iLabs Super Accelerator boleh disalurkan kepada NTIS untuk diuji dalam persekitaran bandar raya sebenar yang dibangunkan Sunway, menerima fasilitasi kawal selia dan pembiayaan sebelum membawa penyelesaian teknologi ini ke pasaran dan dilaksanakan di seluruh negara.

"Pada masa yang sama syarikat di bawah NTIS juga boleh meraih faedah dengan memasuki ekosistem Sunway untuk mengakses program dan memanfaatkan Projek Rintis Bandar Pintar Lestari," katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Up Next