Dzuleira Abu Bakar berkata, program Supercharger Series itu bertujuan mengumpulkan pemain industri di bawah satu bumbung bagi mendalami teknologi Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) selain Pengkomersialan dan Inovasi (C&I) MRANTI.
KUALA LUMPUR: Sebagai usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030, Malaysian Research Accelerator For Technology And Innovation (MRANTI) melancarkan Program Supercharger Series, Supercharging Your Commercialisation Potential.
Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar berkata, program itu bertujuan mengumpulkan pemain industri di bawah satu bumbung bagi mendalami teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain Pengkomersialan dan Inovasi (C&I) MRANTI.
Jelasnya, antara lain agenda program itu adalah bagi mencari penyelesaian serta mengenal pasti kaedah berkesan supaya dapat merapatkan jurang berkaitan teknologi pengkomersialan tersebut di Malaysia.
“Bagi tujuan yang sama, MRANTI juga mempamerkan perniagaan spin-off universiti terpilih yang telah berjaya dikomersialkan dan projek R&D dengan harta intelek yang sedia untuk dikomersialkan. Ini diharap dapat memberikan pendedahan dan inspirasi kepada komuniti yang terlibat,” beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Supercharger Series, Supercharging Your Commercialisation Potential di Auditorium, HIVE 5, MRANTI Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Dzuleira berkata, pelbagai manfaat diterima peserta melalui program yang dilaksanakan itu.
“Inisiatif-inisiatif di bawah MRANTI dijangka memberi impak kepada 5,000 bakal usahawan, mencipta 50 proof-of-concept, prototaip atau produk, memanfaatkan 1,250 pemilik perniagaan dan mencipta nilai ekonomi sebanyak RM500 juta.
“Kementerian Sains dan teknologi (MOSTI) melalui MRANTI juga akan membawa 50 harta intelek terbaik syarikat spin-off dari lima institusi pengajian tinggi tempatan ke laluan pengkomersialan,” katanya.
Dalam masa sama, Dzuleira mengulas mengenai kepentingan hak harta intelek (IP) sebagai ‘mata wang intelek’ yang mempunyai banyak kelebihan termasuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Syarikat yang memiliki hak harta intelek akan mempunyai kelebihan daya saing yang lebih tinggi dan perlindungan undang-undang terhadap pemalsuan. Perlindungan undang-undang sedemikian adalah penting, khususnya bagi syarikat yang ingin mengeksport ke pasaran baharu,” katanya lagi.