5 mins read

MRANTI GAP Demo Day Menampilkan 15 Inovasi Syarikat Pemula Teknologi

October 14, 2022
www.majalahlabur.com
5 mins read

BUKIT JALIL, 13 OKTOBER 2022 Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) telah menganjurkan Global Accelerator Programme (GAP) Demo Day: Thematic Edition Demo Day yang mengetengahkan inovasi daripada 15 syarikat pemula merangkumi teknologi yang tertumpu kepada empat (4) industri iaitu Perubatan daan Penjagaan Kesihatan, Perkhidmatan Perniagaan dan Kewangan, Air dan Makanan, serta Teknologi Dron.

Kohort kali ini telah disertai oleh 38 syarikat pemula yang menjalani latihan selama tiga (3) bulan bertujuan untuk mempercepat pertumbuhan syarikat mereka dari segi pengkomersialan dan kesediaan untuk menjana pelaburan melalui pembangunan penyelesaian berinovatif yang membawa impak kepada masyarakat, ekonomi dan seterusnya dunia.

Majlis turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato Sri Dr. Adham bin Baba serta pemain dan pemimpin utama industri.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba menyerikan majlis MRANTI GAP Demo Day 2022.

“Malaysia mempunyai potensi yang luar biasa untuk dimanfaatkan, namun ianya memerlukan kerjasama yang lebih erat dalam ekosistem inovasi untuk menyokong pertumbuhan dan kejayaan pelbagai industri. Melalui MRANTI, Kerajaan berhasrat untuk menyelaras dan memacu peluang yang lebih tinggi daripada rantaian nilai penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I),” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba.

Jelas beliau, demi meningkatkan kadar pengkomersialan negara dan mencapai wawasan untuk menjadi antara 20 negara paling inovatif menjelang 2030, Malaysia memerlukan ekosistem yang kukuh dan bersinergi yang akan berfungsi sebagai ‘jambatan’ antara bidang penyelidikan dan pengkomersialan.

“Kita mampu memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Inovasi Global dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk melalui pelaksanaan Pelan Induk Taman MRANTI yang baru sahaja dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Puan Dzuleira Abu Bakar semasa ucapan alu-aluannya ketika MRANTI Demo Day.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Puan Dzuleira Abu Bakar menegaskan, “Program hari ini menjadi bukti kepada potensi Malaysia untuk melahirkan dan memupuk startup founders yang boleh menyediakan penyelesaian inovatif kepada pelbagai permasalahan yang kompleks. Peranan kami di MRANTI adalah untuk memberikan sokongan bagi mengembangkan usaha mereka, seterusnya menjana pembangunan negara.”

Tambahnya lagi, “Tahun ini, sejumlah 38 syarikat dari Malaysia, Singapura, Rusia dan United Kingdom telah menyertai MRANTI GAP merangkumi 4 Thematic Accelerator Tracks. Kami memberi tumpuan kepada empat (4) industri ini bagi menawarkan program yang lebih khusus dalam menangani cabaran dan keperluan unik setiap industry.

Program MRANTI GAP kali ini terdiri daripada dua (2) fasa utama iaitu fasa pengkomersialan serta fasa projek rintis dan pembiayaan. Fasa pengkomersialan membantu syarikat meningkatkan tahap kesediaan terhadap pelaburan dan mengatasi cabaran awal dalam perniagaan, manakala fasa projek rintis dan pembiayaan membolehkan syarikat mengaplikasikan pitching skill untuk mendapatkan pembiayaan bagi mempelbagaikan portfolio mereka dalam usaha meluaskan pasaran syarikat.

YB Datuk Ts Dr. Hj. Aminuddin Bin Hassim, YB Dato’ Sri Dr. Adham Bin Baba, dan Puan Dzuleira Abu Bakar ketika menemu bual dengan wakil dari Seashore Networks, sebuah syarikat Internet of Things (IoT) yang menawarkan perisian Wireless 5G peribadi

Selepas fasa ini selesai, MRANTI akan terus menyediakan sokongan dan pemantauan tambahan untuk memulakan proses perkembangan syarikat-syarikat tersebut.

Sebanyak 15 syarikat terpilih ditampilkan semasa Demo Day iaitu:

● Cytonex

● Sonicboom

● Medika Natura

● Seashore Networks

● NexMind

● Izmir Tech

● Vstream

● RABT

● Orilin

● SkillSeed

● Luwjistik

● ThreeOpp

● MySmartOH

● Physiomobile

● Rootally AI

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://mranti.my/

Dikeluarkan oleh:

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI 13 OKTOBER 2022

Mengenai MRANTI

MRANTI merupakan agensi pengkomersialan penyelidikan Malaysia yang memacu pembangunan inovasi teknologi daripada idea kepada impak. Berkhidmat sebagai penyambung, inkubator dan pemangkin bagi mengembangkan satu idea menjadi satu entiti yang mampu dikomersialkan dan dibesarkan, MRANTI menawarkan akses infrastruktur, intervensi dan program bertaraf dunia, rakan kongsi straterik dan rangkaian sumber kepada pemain industri dan pereka baharu (innovator). MRANTI menyasarkan untuk mengembangkan bekalan inovasi Malaysia, dan membuka peluang kepada nilai R&D baharu dengan memastikan peralihan yang berkesan dalam kitaran hayat pengkomersialan. MRANTI juga akan menghubungkan akademia dengan industri dan sektor awam untuk menyelaraskan usaha R&D yang dipacu pasaran untuk hasil yang berasaskan misi.

Up Next