5 mins read

MITI raih potensi pelaburan RM23.07 bilion di Jepun

June 2, 2023
Berita RTM
5 mins read

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya memperoleh potensi pelaburan bernilai RM23.07 bilion dan potensi eksport produk dan perkhidmatan ke Jepun bernilai RM2.1 bilion menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Tokyo dan Osaka.

Misi selama lima hari yang diketuai Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dari 29 Mei hingga 2 Jun itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI).

Ia juga sebagai penyumberan pilihan di Asia Tenggara dengan penekanan utama kepada digital serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Tengku Zafrul berkata, potensi pelaburan dan eksport itu melibatkan pelbagai syarikat terkemuka di Jepun termasuk Fuji Electric, NHK Spring, CKD Corporation, Itochu Corporation, Sumitomo Corporation, Mitsui & Co Ltd, Denso Corporation, Japan Petroleum Exploration Co Ltd. (JAPEX), Panasonic Housing Solutions Co Ltd, D-ACT, Omron Relay and Devices Corporation dan Daiwa House Industry Co Ltd.

Katanya, MITI akan berusaha untuk merealisasikan pelaburan tersebut dengan segera bagi membantu Malaysia memanfaatkan trajektori pertumbuhan ekonomi global yang bertambah baik pada tahun-tahun akan datang.

“Apabila berjaya dilaksanakan kelak, Projek ini bukan sahaja akan menjana prospek pekerjaan dan peluang latihan kemahiran bagi rakyat Malaysia tetapi juga memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Ini termasuk dalam rantaian bekalan domestik, menggalakkan pelaburan langsung domestik dan membangunkan lagi ekosistem industri strategik," kata Tengku Zafrul menerusi kenyataan.

Tambah Tengku Zafrul, MITI juga akan berusaha untuk merealisasikan eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran Jepun sambil turut memanfaatkan pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dianggotai Malaysia.