5 mins read

Meraque perkenal RACE, AGV pertanian pertama Malaysia

August 8, 2022
Utusan TV
5 mins read
MERAQUE Services Sdn. Bhd. (Meraque) telah melancarkan kenderaan darat autonomi (AGV) pertama di Malaysia yang diberi nama RACE.

MERAQUE Services Sdn. Bhd. (Meraque) telah melancarkan kenderaan darat autonomi (AGV) pertama di Malaysia yang diberi nama RACE.

Syarikat penyelesaian inovatif itu memaklumkan, RACE diambil sempena singkatan kepada Robotic Agro in Complex Environment.

Menurut Meraque, RACE bertujuan mengurangkan kebergantungan tenaga kerja di samping meningkatkan konsistensi kerja-kerja penyemburan baja di ladang kelapa sawit.

“Dengan menggunakan modul pengkomputeran berkuasa tinggi dalam sistem pemprosesannya, RACE dapat bergerak sendiri tanpa kawalan dengan melalui pokok-pokok; menganalisis persekitaran untuk membuat keputusan; mencari arah serta menetapkan sempadan pergerakan menggunakan titik lokasi ketepatan tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenderaan robotik itu telah dirasmikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin pada hari ketiga Ekspo & Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

Zuraida berkata, inovasi baharu seperti RACE ciptaan Meraque itu akan membantu mempercepat usaha Malaysia untuk berada di peta komoditi pertanian dunia dan seterusnya mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai pengeluar utama produk agro komoditi di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah bukti bahawa syarikat tempatan mampu menghasilkan produk atau penyelesaian bertaraf dunia yang mempunyai kemampuan menyelesaikan masalah atau cabaran yang dihadapi dalam industri pertanian global pada masa kini.

“Saya mengucapkan tahniah atas perkembangan terbaharu mereka. Meraque sedang membantu meletakkan asas masa depan industri agro komoditi Malaysia, dan saya teruja untuk melihat bagaimana mereka akan terus membantu untuk melengkapkan industri.

“Saya berharap lebih banyak syarikat mengikuti jejak mereka dan mencontohi dorongan syarikat tersebut untuk mencipta penyelesaian yang berani dan inovatif bagi mengubah landskap industri,” katanya.

RACE dengan kapasiti beban 150L (150kg) merupakan prototaip berskala kecil yang sesuai untuk kegunaan kerja-kerja penyemburan sebaris, sebaliknya prototaip berskala penuh dengan kapasiti beban lebih 500L pula sesuai untuk melakukan aktiviti penyemburan sebaris dan juga pembajaan.

RACE telah dirasmikan sempena Ekspo & Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

RACE boleh disepadukan dengan AGV-AGV lain di sekitarnya melalui teknologi kawanan (swarm technology) dan boleh mengemudi kumpulannya untuk melakukan projek dengan cepat serta pembahagian kerja-kerja dijalankan secara berperingkat.

Pelaksanaan fasa satu projek tersebut akan meliputi pembangunan sistem penyemburan navigasi AGV dalam persekitaran yang kompleks seperti ladang kelapa sawit dengan pengumpulan data dan menganalisis corak pergerakan bagi tujuan latihan kepintaran buatan (AI) mesin tersebut.

Fasa kedua pula akan melihat kepada konfigurasi bagi mesin kapasiti muatan tinggi dan aktiviti pembajaan, manakala fasa terakhir akan melibatkan penyepaduan antara mesin-mesin AVG melalui teknologi kawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata, dengan semangat Malaysia untuk mempromosikan negara ini sebagai hab antarabangsa bagi aktiviti komoditi pertanian, Meraque bukan sahaja akan berusaha menyediakan teknologi pertanian masa depan untuk negara ini tetapi tetapi juga kegunaan pengguna seluruh dunia melalui inovasi ‘buatan Malaysia’.

“Dengan AGV perladangan Meraque yang dibina dengan memasukkan fungsi robotik pertanian dengan kecerdasan buatan, kami berharap dapat membina hari esok yang lebih baik untuk sektor pertanian – membantu lebih banyak sektor perladangan meningkatkan kecekapan, menstabilkan hasil, mengawal kos dan kekurangan tenaga kerja, mengurangkan kesan akibat cuaca yang berubah, meningkatkan pengeluaran dan memaksimumkan keuntungan yang semuanya dilaksanakan dengan amalan yang mampan,” tambah Razalee.

Hari ini, Meraque menguasai pasaran terbesar untuk perkhidmatan penyemburan dron di Malaysia.

Sehubungan itu, Meraque akan mengambil dan melatih sekurang-kurangnya 500 pekerja tempatan menjelang akhir 2023 untuk memenuhi permintaan tinggi di sektor perladangan kelapa sawit serta pertanian bersaiz besar seperti ladang durian, getah, kelapa, sawah padi dan nanas.

Awal minggu lalu, Meraque mengumumkan perkongsian dengan Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bertujuan meningkatkan pengembangan perniagaan syarikat mereka di negara ini dan rantau ASEAN dengan tumpuan dalam sektor pertanian, perladangan, infrastruktur dan telekomunikasi melalui kemudahan pembiayaan khas yang diperoleh dari MDV.

Industri teknologi dron telah menyaksikan peningkatan ketara dengan pasaran dron global diramalkan mencapai AS$41.3 bilion pada 2026, menurut Drone Market Report 2021-2026. Kajian terbaru oleh Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) menunjukkan ekonomi dron negara pula dijangka menyumbang RM50 bilion kepada KDNK dan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Up Next