5 mins read

MED4IRN setuju bangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia – PM

September 6, 2022
Utusan TV
5 mins read
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat kedua MED4IRN, hari ini.

MAJLIS Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) sebulat suara bersetuju untuk membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30).

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat kedua MED4IRN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Pembangunan MDTAP30 itu adalah satu daripada lima ketetapan yang dipersetujui mesyuarat MED4IRN.

Perdana Menteri berkata, pelan tindakan berkenaan akan dibangunkan bagi menyokong ekosistem dron dan menjadikan MDTAP30 sebagai agenda nasional.

Menurut beliau, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan bertindak sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30.

Beliau memaklumkan, MRANTI juga akan melaporkan kemajuan kepada ahli majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

Perdana Menteri menjelaskan, industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan proses pendaftaran operator dron untuk meningkatkan pendaftaran UAS menjelang tahun 2030.

“Mesyuarat juga mengambil maklum akan perkara-perkara yang dibangkitkan pemain industri seperti kerenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, mesyuarat MED4IRN juga memutuskan untuk melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act-Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP) bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus diperkasa melalui pendigitalan dan satu rangka kerja berintegrasi.

Jelasnya, satu mekanisme penyelesaian pertikaian dalam talian (ODR) diwujudkan bagi mengadili dan menyelesaikan tuntutan kecil serta meningkatkan aktiviti e-dagang merentas sempadan.

“Penubuhan pusat sehenti juga akan mempermudah akses program sokongan pendigitalan kepada PKS.

“Selain itu, status pekerja ekonomi gig juga akan sentiasa dipantau untuk memastikan golongan ini mempunyai jaminan dari segi kewangan dan perlindungan undang-undang yang mencukupi,” jelas beliau.

Up Next