5 mins read

Maxis perkasa Startup Village pada WCIT dan IDECS

October 4, 2023
Utusan Borneo
5 mins read

KUCHING: Maxis sebagai Rakan Inovasi Rasmi untuk Kongres Dunia Inovasi & Teknologi (WCIT) Ke-27 2023 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) Ke-6 2023 memperkasakan Startup Village pada persidangan tersebut.

Startup Village pada persidangan yang berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini akan menyaksikan penglibatan lebih daripada 40 syarikat pemula dari seluruh rantau.

Syarikat pemula, para usahawan dan pelawat sekalian dijemput untuk mengunjungi Maxis Startup Village yang terletak di Aras 1 BCCK.
Menerusinya, mereka boleh menerokai pelbagai penyelesaian bersepadu sambil berhubung dengan rakan sebaya, mencungkil peluang baharu dan memacu idea ke peringkat seterusnya.

Sebagai penyedia sambungan bersepadu yang terkemuka di Malaysia, Maxis berhasrat memupuk inovasi dalam ekosistem teknologi dan memperkasakan usahawan dan perniagaan melalui rangkaian dan penyelesaian yang boleh dipercayai, penyelesaian semua dalam satu untuk pendigitalan dan disokong oleh kepakaran bertauliah bertaraf dunia.

Selain itu, Maxis telah secara konsisten menunjukkan dedikasinya untuk memupuk inovasi melalui pelbagai program perintis bersama rakan industri seperti MDEC, ScaleUp Malaysia, MRANTI dan lain-lain.

Antara program perintis tersebut adalah Market Access Day, Maxis Startup Connect and Startup World Cup 2023.

Wakil Maxis juga akan menyertai perbincangan panel tentang topik wanita dalam teknologi, kerjasama dengan syarikat pemula dan korporat, serta pendigitalan untuk perniagaan.