5 mins read

Malaysian Open Science Platform pergiat perkongsian data [METROTV]

August 2, 2022
Harian Metro
5 mins read

Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Akademi Sains Malaysia sedang membangunkan Malaysian Open Science Platform untuk mempergiatkan perkongsian data antara penyelidik dan industri.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bidang keutamaan sains, teknologi dan inovasi negara juga sedang diselaraskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melalui Rangka Kerja 10-10 MySTIE dan pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengkomersialan dan inovasi (C&I) yang bersepadu.

Beliau berkata, tiga entiti sudah ditubuhkan untuk membangunkan ekosistem inovasi berkenaan iaitu pertama Unit Pengurusan Penyelidikan di bawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM) untuk menyelaras dan menyusun strategi penyelidikan negara.

"Kedua, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation di bawah program Pemecut Pengkomersialan Teknologi bertujuan merancakkan aktiviti pengkomersialan antara akademia dan industri.

"Ketiga, Malaysian Science Endowment di bawah seliaan Mosti dan Akademi Sains Malaysia yang akan mewujudkan pembiayaan alternatif R&D dan C&I melalui kerjasama industri dan badan antarabangsa.

"Ketiga-tiga entiti perlu bekerjasama untuk memastikan hasil R&D dan C&I serta harta intelek menjadi produk nilai tambah yang tinggi, sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju berteraskan inovasi seperti Korea Selatan, Switzerland dan Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis Perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini, hari ini.

Majlis bertemakan komuniti mampan dan bandar hijau, pertanian lestari dan sekuriti makanan serta perniagaan mampan itu anjuran Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM), Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan kementerian berkaitan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah banyak belajar daripada pandemik Covid-19 yang memberikan impak begitu besar kepada seluruh dunia.

"Namun dalam berhadapan kemelut dan suasana getir itu, terdapat inovasi yang dihasilkan yang telah dapat menyelamatkan nyawa kita, sekali gus menjadi sebahagian daripada norma kehidupan kita pada hari ini.

"Justeru, penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi atau R&D dan C&I memainkan peranan penting dalam memupuk inovasi dan mempercepat pembangunan sosioekonomi bagi mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

"Penerokaan idea dan ilmu baharu daripada hasil penyelidikan menjanjikan inovasi yang berkualiti seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Menurutnya, kerajaan sedar, penting sekali ekosistem yang kondusif dalam menggalakkan lebih banyak pelaburan bagi penghasilan perkhidmatan dan produk dengan menjadikan inovasi sebagai tumpuan utama.

Beliau berkata, seperti mana yang sudah diumumkannya semasa pembentangan RMK-12, Malaysia bermatlamat untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2025.

"Ini bermakna Malaysia perlu terus berubah dan berinovasi ke arah negara digital yang makmur dan berdaya tahan melalui pendigitalan, terima guna teknologi dan inovasi bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Bagi menyokong tujuan tersebut, kerajaan sudah meluluskan sebanyak 99 projek dan program R&D dan C&I dengan kos berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor inovasi di Malaysia, bagi tempoh 2021 hingga 2022 di bawah RMKe-12.

"Dalam aspek pengkomersialan, sekurang-kurang 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D perlu menjurus kepada penyelidikan pembangunan eksperimental, selain melahirkan lebih ramai pencipta teknologi serta usahawan teknologi tempatan bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Up Next