5 mins read

Malaysia perlu lebih ramai jurutera

March 11, 2023
BHarian
5 mins read

Malaysia perlukan lebih ramai jurutera kerana nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia ialah 1:170 berbanding 1:100 di negara maju seperti Jerman dan Perancis. - Foto hiasan NSTP/Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan lebih ramai jurutera untuk membantu negara mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke arah membina masa depan lebih mampan, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan statistik Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), seramai 187,900 jurutera berdaftar secara rasmi di negara ini tahun lalu manakala nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia ialah 1:170 berbanding 1:100 di negara maju seperti Jerman dan Perancis.

Daripada angka tersebut, 172,900 terdiri daripada jurutera siswazah, 5,900 jurutera profesional dan 9,100 jurutera profesional dengan sijil amalan.

"Angka tersebut menunjukkan masih terdapat permintaan yang tinggi untuk profesion jurutera di Malaysia dalam usaha ke arah mencapai status negara pengeluar teknologi," menurut kenyataan itu.

Statistik berkenaan dinyatakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang ketika merasmikan Hari Kejuruteraan Sedunia 2023 peringkat Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) bertemakan Engineering Possibilities, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Dzuleira Abu Bakar dalam kenyataan sama berkata melalui sambutan itu, MRANTI menyokong hasrat untuk mempromosi kejuruteraan sebagai pilihan kerjaya dan menghidupkan semula semangat dalam kalangan generasi muda untuk kemungkinan dan peluang yang tersedia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

MRANTI juga menyediakan pusat inovasi komuniti yang dikenali sebagai MakersLab bertemakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang merupakan pusat untuk komuniti inovator berkumpul dan bertukar idea bagi menjalankan eksperimen dalam meningkatkan penciptaan dan inovasi tempatan.

"Aktiviti bengkel STEM dalam bidang tenaga-boleh-diperbaharui, pengekodan dan robotik ditawarkan termasuk Program Sijil Reka Bentuk Simulasi Industri dan kursus Inovasi Percetakan 3D," katanya.

Selain itu, Pertandingan Cabaran Reka Bentuk turut dilancarkan sempena Hari Kejuruteraan Sedunia 2023 yang juga seruan kepada belia untuk melibatkan diri dalam dialog berkaitan gaya hidup di bandar yang lebih inklusif dari segi sosial, kemampanan diri dan penjanaan semula alam sekitar.

Belia siswazah dan lepasan ijazah dari bidang kejuruteraan dan pelbagai disiplin lain dijemput untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu dan melontarkan idea bandar pintar paling inovatif dalam bentuk prototaip yang boleh diaplikasi.

Menurut MOSTI, penyertaan terbaik bakal menerima ganjaran pelaburan bernilai sehingga RM30,000.

– BERNAMA

Up Next