PHNOM PENH: Malaysia berpandangan Myanmar adalah sebuah negara jiran serta negara ASEAN yang dihargai, dan mahu melihat negara itu pulih seperti sedia kala dan mengikut Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata Malaysia juga mahu Myanmar terus mencapai kemajuan demi kebaikan rakyatnya supaya negara itu berada dalam keadaan aman, harmoni dan sejahtera.
"Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) adalah sangat penting. Ini adalah hala tuju kita bersama dalam menangani situasi di Myanmar. Semua pihak seharusnya bersama-sama berusaha untuk melaksanakan ASEAN 5PC dengan berkesan dan menyeluruh.
"Walaupun begitu, tanggungjawab utama dalam hal ini terletak kepada pemerintahan di Myanmar. Mereka juga adalah sebahagian daripada Konsensus ini," kata perdana menteri pada sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techno Hun Sen selepas pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin itu di Peace Palace di sini hari ini.
"Saya turut menggariskan pentingnya perkembangan positif dapat dilihat dalam menangani isu Rohingya. Saya berkongsi dengan Perdana Menteri Hun Sen cabaran yang dihadapi oleh negara-negara penerima pelarian termasuk Malaysia, disebabkan oleh kemasukan pelarian Rohingya dan lain-lain dari Myanmar," tambah perdana menteri.
Menurut Ismail Sabri, Malaysia akan terus menyokong usaha Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN, serta Utusan Khas Pengerusi ASEAN berkenaan Myanmar dalam menangani situasi di Myanmar dengan berkesan.
Katanya, Hun Sen memahami cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh Malaysia dalam menempatkan secara sementara pelarian-pelarian terbabit.
"Dalam hal ini, repatriasi pelarian-pelarian ini ke Myanmar secara selamat dan bermaruah perlu dilaksanakan," katanya.
Mengenai perbincangan beliau dengan Hun Sen berkenaan isu Laut China Selatan, Ismail Sabri berkata Malaysia berpendirian supaya Laut China Selatan kekal menjadi kawasan aman dan stabil, serta selamat untuk perdagangan.
"Apa-apa isu yang timbul perlu kita tangani secara rasional, aman dan konstruktif, mengikut prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuklah UNCLOS 1982 (Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut)," katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata beliau dan rakan sejawatnya turut bersetuju bahawa pertukaran lawatan peringkat tertinggi dan semua peringkat perlu ditingkatkan bagi mengukuhkan lagi keakraban hubungan persahabatan dan saling memahami serta menghargai antara kedua-dua negara.
"Pertukaran lawatan akan membuka lebih banyak peluang dalam pertumbuhan kerjasama pelbagai dimensi - misalnya dalam pembangunan sumber manusia, infrastruktur, perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pendidikan dan lain-lain," katanya.
Menurut Ismail Sabri, Malaysia juga berminat untuk terus bekerjasama dengan Kemboja bagi menyokong usaha-usaha pembangunan belia di kedua-dua negara, terutama dalam bidang keusahawanan.
Bagi tujuan itu katanya telah wujud satu Memorandum Persefahaman antara MRANTI (Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation - dahulunya dikenali sebagai MaGIC) dengan Impact Hub Phnom Penh, Kemboja.
Mengenai Kemboja selaku pengerusi ASEAN 2022, Ismail Sabri berkata Malaysia akan terus memberikan sokongan padu dan kerjasama erat kepada negara berkenaan.
"Saya yakin Kemboja akan melaksanakan Kepengerusian ASEAN tahun ini dengan cemerlang. Kita dijangka akan terus berdepan dengan pelbagai cabaran pada tahun 2022 ini, antaranya disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan lain-lain isu serantau yang rumit. Kesepaduan dan kepaksian ASEAN adalah paling utama.
"Ingin saya bangkitkan juga, pentingnya menjaga kredibiliti ASEAN. Malaysia akan meneruskan usaha sama dengan Kemboja untuk menjaga keamanan dan kestabilan, serta kemakmuran rantau kita di persada dunia," katanya. – BERNAMA