PETALING JAYA, 21 Jun- Menjelang tahun 2025, penduduk Malaysia yang tinggal di bandar dijangka meningkat kepada 27.3 juta orang.
Ketika ini dianggarkan lebih 70% daripadanya menetap di bandar.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia dibuat berdasarkan Laporan Dasar Perbandaran Negara Kedua.
Sehubungan itu, kewujudan Bandar Pintar dalam negara membolehkan penggunaan teknologi yang dibangunkan oleh bakat tempatan melalui inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Antaranya seperti National Technology and Innovation Sandbox membantu pihak berkuasa menangani isu-isu perbandaran dan meningkatkan kualiti hidup.
"Bandar Sunway Kuala Lumpur merupakan salah satu model bandaraya lestari pintar di Malaysia di mana masyarakat tinggal, bekerja, beriadah dan belajar dalam persekitaran yang selamat, sihat serta terdapatnya pengintegrasian teknologi dan inovasi yang canggih dalam setiap aspek perancangan bandarnya.
"Di harap agar kerjasama strategik bersama Sunway Ilabs ini dapat melahirkan lebih banyak penyedia penyelesaian pintar yang dapat membantu memecut pembangunan bandar pintar di negara ini," katanya.
Beliau berucap sempena dengan pelancaran Program Rintis Sandbox Bandar Pintar Lestari antara Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) dan Sunway Innovation Labs (Sunway Ilabs) di Bandar Sunway, di sini hari ini.