PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia akan terus membantu Kemboja untuk membangunkan ekosistem Halal di negara ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai pakar-pakar industri halal terbaik dan beliau mengalu-alukan lebih banyak lagi perniagaan-perniagaan di Kemboja untuk datang ke Malaysia dan memperkasakan kemahiran mereka dalam pembangunan industri Halal.
“Saya juga gembira mendengar perkembangan kerjasama dalam sektor Halal yang begitu memberangsangkan,” katanya dalam nota percakapan sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Samdech Techo Hun Sen di Kemboja, hari ini.
Ismail Sabri berkata, Malaysia berminat untuk terus bekerjasama dengan Kemboja untuk menyokong usaha-usaha pembangunan belia di kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang keusahawanan.
Dalam perkara ini, katanya, Memorandum Persefahaman antara MRANTI (atau dahulunya dikenali sebagai MaGIC) dengan Impact Hub Phnom Penh, Kemboja telah pun diwujudkan.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Hun Sen atas Kepengerusian ASEAN tahun ini, di bawah tema “A.C.T.: Menangani Cabaran Bersama”.
Katanya, Malaysia akan terus memberikan sokongan padu dan memberikan kerjasama erat dengan Kemboja dan berkeyakinan negara itu akan melaksanakan Kepengerusian ASEAN tahun ini dengan cemerlang.
” Kita dijangka terus berdepan dengan pelbagai cabaran pada tahun 2022 ini, antaranya disebabkan pandemik Covid-19 dan lain-lain isu serantau yang rumit. Kesepaduan dan Kepaksian ASEAN adalah paling utama.
“Ingin saya bangkitkan juga, pentingnya menjaga kredibiliti ASEAN. Malaysia akan meneruskan usaha sama dengan Kemboja untuk menjaga keamanan dan kestabilan, serta kemakmuran rantau kita di persada dunia.,” katanya.
Kedua-dua pemimpin itu turut bertukar-tukar pandangan berkenaan situasi di Myanmar dan Malaysia akan terus menyokong usaha Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN, serta Utusan Khas Pengerusi ASEAN berkenaan Myanmar dalam menangani situasi di Myanmar dengan berkesan.
Kata Perdana Menteri, Malaysia berpandangan bahawa Myanmar adalah sebuah negara jiran dan negara ASEAN yang dihargai, namun, berharap Myanmar pulih seperti sedia kala dan mahu agar negara itu terus mencapai kemajuan demi kebaikan rakyatnya dan agar negara tersebut berada dalam keadaan aman, harmoni dan sejahtera.
Dalam pada itu, Jelas Perdana Menteri, Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) adalah sangat penting iaitu merupakan hala tuju bersama dalam menangani situasi di Myanmar, justeru, semua pihak seharusnya bersama-sama berusaha untuk melaksanakan ASEAN 5PC dengan berkesan dan menyeluruh.
Walaupun begitu, katanya, tanggung jawab utama dalam hal ini terletak kepada pemerintahan di Myanmar kerana mereka juga adalah sebahagian daripada Konsensus ini.
“Saya turut menggariskan pentingnya perkembangan positif dapat dilihat dalam menangani isu Rohingya. Saya berkongsi dengan Hun Sen cabaran yang dihadapi oleh negara-negara penerima (receiving States) pelarian termasuk Malaysia, disebabkan oleh kemasukan pelarian Rohingya dan lain-lain dari Myanmar.
“Saya menghargai Hun Sen yang memahami cabaran dan kekangan dihadapi Malaysia dalam menempatkan secara sementara pelarian-pelarian tersebut. Dalam hal ini, repatriasi pelarian-pelarian ini ke Myanmar secara selamat dan bermaruah perlu dilaksanakan,” katanya.
Dalam isu Laut China Selatan, kata Perdana Menteri, apa yang penting adalah supaya Laut China Selatan ini kekal menjadi laut yang aman dan stabil, serta selamat untuk perdagangan.
Katanya, apa-apa isu yang timbul perlu ditangani secara rasional, aman dan konstruktif, mengikut prinsip prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuklah UNCLOS 1982.
“Dalam pada Malaysia dan Kemboja menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini, saya ingin menyampaikan rasa gembira terhadap yang teguh antara kedua-dua negara.
“Kita juga berdiri atas landasan di mana kita saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain. Saya percaya kita akan mencapai lebih banyak kejayaan dengan kerjasama erat yang dipupuk.
“Saya mengalu-alukan Hun Sen untuk melawat Malaysia pada satu kesempatan di masa akan datang,” katanya. –UTUSAN ONLINE