KUALA LUMPUR – Ketika dunia beralih ke era Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR4.0), peluang dalam kecerdasan buatan (AI), automasi, elektrifikasi, sains data, pengkomputeran awan dan percetakan 3D semakin pesat berkembang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini menggariskan beberapa usaha utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memanfaatkan pelbagai peluang bagi memperluaskan dan mempercepatkan inovasi untuk negara, demi menyelesaikan cabaran yang wujud dalam masyarakat dan sektor tertentu sekaligus memacu daya saing dan matlamat Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi,
“Hasrat MOSTI adalah untuk mencipta nilai yang mampan (sustainable value). Dalam rantaian nilai ini, kami ingin memupuk inovasi bermula daripada akarnya, supaya kita dapat menjamin kelangsungan idea dan produk inovatif,” katanya.
Menurut beliau lagi, kementeriannya juga telah merancang pelbagai inisiatif di Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) antaranya ialah MakersLab yang akan mula beroperasi bulan Mei ini.
“MakersLab berkeluasan 2,000 kaki persegi bertempat di MRANTI Park dan bertemakan IR4.0 merupakan pusat untuk komuniti inovator berkumpul, berkongsi buah fikiran serta menjalankan eksperimen bagi meningkatkan penciptaan dan inovasi tempatan.
“Pusat pembelajaran dan pembangunan ini sesuai untuk inovator pelbagai peringkat usia melahirkan idea dalam satu ruang khusus.
“MakersLab bakal menjadi pemangkin budaya ‘pencipta’ melalui pendekatan ‘belajar dengan melakukan’.
“Di sini, komuniti inovator, pelajar dan pencinta inovasi secara amnya akan mempunyai akses yang pantas, mudah dan dengan kos berpatutan dalam membantu proses penyelidikan dan eksperimen mereka.
“Akses ini membolehkan mereka memanfaatkan peralatan, perkakas, ruang dan pengetahuan tersedia untuk menghasilkan prototaip penyelesaian masing-masing dengan kadar yang pantas.
“Justeru, ia adalah kemudahan ideal untuk menguji idea berskala kecil dalam persekitaran terkawal (sandbox), serta ‘bermain’ dengan perkakasan dan perisian dalam ruang khusus yang dilengkapi dengan sumber dan alatan yang diperlukan dari ‘sumber terbuka’,” katanya
Beliau berkata demikian semasa Majlis Iftar Silaturrahim Pengarang Media bersama YB Menteri MOSTI dan MRANTI, di ibu negara hari ini.
Menurutnya lagi, inovasi yang baik lahir daripada perlunya penyelesaian untuk sesebuah masalah, digandingkan pula dengan eksperimen dan keupayaan untuk beradaptasi dengan pantas.
“MakersLab akan membenarkan inovator untuk melalui kegagalan tetapi akan membantu mereka untuk berjaya dalam masa yang pantas dengan bimbingan untuk mencipta penyelesaian yang lebih baik.
“MakersLab membolehkan individu dan komuniti yang mempunyai minat dalam inovasi untuk membentuk idea mereka dalam bentuk prototaip dengan menggunakan pelbagai bahan seperti kayu, plastik, logam dan tekstil yang berbeza.
“Ia dilengkapi dengan mesin CNC (Computerised Numerical Control) , pemotong laser, tablet lukisan 3D, pengimbas dan pencetak, perkakas berkuasa tinggi, alatan bertukang, meja kerja elektronik, kit pemodelan dan perisian CAD.
“Pada masa yang sama, tenaga pengajar akan berada di lokasi untuk mengajar ‘bagaimana cara untuk membuat sendiri’ menggunakan alatan dan perkakas dengan cara yang selamat.
“Di MakersLab, orang ramai boleh mengambil bahagian dalam sesi senario
‘pencipta’ termasuk: ‘Memanfaatkan Tenaga daripada Tenaga Suria’, ‘Membina, Menerbangkan dan Memandu Dron Sayap Tetap’, ‘Membina dan Mengekod Robot Pengikut Garis’, ‘Reka Bentuk Permainan’ dan pelbagai projek Kejuruteraan DIY yang menyeronokkan.
“MakersLab adalah sebahagian daripada kemudahan yang diintegrasikan di MRANTI Park (dahulu dikenali sebagai Taman Teknologi Malaysia) seluas 686 ekar untuk perkhidmatan penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (R&D&C&I) daripada peringkat awal sehingga peringkat akhir.,” katanya.