5 mins read

Lawatan PM ke Kemboja kukuhkan hubungan dua hala

February 22, 2022
Sinar Harian Online
5 mins read

Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Kemboja pada Rabu bertemu rakan sejawatannya, Hun Sen. Gambar kecil: Ikhmal Irwansyah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seorang pemimpin yang menitikberatkan soal hubungan rapat dengan rakan anggota ASEAN dan lawatan beliau ke Kemboja pada Rabu ini pastinya akan dilihat sebagai usaha mengukuhkan hubungan yang terjalin sejak 65 tahun lalu ke tahap yang tinggi dan lebih matang serta saling menguntungkan.

Kemboja ialah negara anggota ASEAN yang keempat dilawati Ismail Sabri selepas Indonesia, Singapura dan Brunei sejak menjadi Perdana Menteri Ogos lepas.

Dalam rangka lawatan dua hari itu nanti, Ismail Sabri akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Hun Sen dan mereka dijangka berbincang beberapa isu berkaitan hubungan dua hala, perdagangan dan pelaburan, komoditi serta isu serantau.


Namun pada pertemuan empat mata itu, kedua-dua pemimpin berkenaan dijangka memberi fokus kepada sektor-sektor baharu yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara seperti industri halal yang kian meningkat sambutan.

Bagi merancakkan industri halal negara, Perdana Menteri dijangka mengundang syarikat-syarikat dari Kemboja untuk menyertai 18th Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) yang akan diadakan pada September ini.


Syarikat-syarikat dari kedua-dua negara boleh meneroka dan menjalinkan perkongsian bagi memasuki pasaran halal menerusi International Sourcing Programme semasa acara MIHAS berkenaan.

Malaysia boleh menawarkan khidmat nasihat kepada syarikat-syarikat Kemboja yang berhasrat mendapatkan pensijilian halal. Malaysia mempunyai penasihat-penasihat yang bertauliah di bawah Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Halal Academy - MIHA), yang disahkan oleh Majlis Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malaysia sentiasa menganggap Kemboja sebagai sahabat akrab dan jiran yang penting dan ia berpuas hati dengan kedudukan hubungan yang baik antara kedua-dua negara, sama ada di peringkat dua hala mahupun ASEAN.

Malaysia berpuas hati dengan hubungan erat dalam sektor perdagangan, meskipun perdagangan telah terjejas akibat pandemik Covid-19, namun ia masih menunjukkan peningkatan sebanyak 16.9 peratus pada tahun 2021 berbanding 2020.

Kemboja adalah antara negara yang amat diminati oleh pelabur-pelabur Malaysia malah jumlah kumulatif pelaburan Malaysia di negara itu berjumlah AS$3.53 bilion dan Malaysia adalah pelabur ketiga terbesar di Kemboja.

Up Next