5 mins read

Kerajaan lulus projek dan program berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor inovasi – Perdana Menteri

August 2, 2022
Utusan TV
5 mins read
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN telah meluluskan sebanyak 99 projek dan program Penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D dan C&I) dengan kos berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor inovasi di Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam aspek pengkomersialan, sekurang-kurang 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D perlu menjurus kepada penyelidikan pembangunan eksperimental.

Jelas beliau, Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D (atau GERD) kepada KDNK negara dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.04 peratus sahaja pada tahun 2018.

“Bagi tujuan ini, sumbangan sektor swasta disasarkan mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D dengan sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen juga dipertingkatkan.

”Terdapat cabaran berkaitan inovasi yang perlu ditangani Keluarga Malaysia sebelum negara mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi

“Ini termasuklah pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah dalam R&D dan C&I berbanding dengan negara- negara maju. Contohnya pada tahun 2018, GERD Korea Selatan ialah 4.52 peratus, Jepun 3.22 peratus berbanding 1.04 peratus bagi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, hampir 80 peratus penyelidik tempatan pada 2018 berada di institusi pengajian tinggi.

Ujar beliau, 97.4 peratus lagi usahawan datang daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (atau PMKS).

Tambahnya, daripada lebih kurang 5,435 syarikat pemula daripada 2010 hingga 2020, hanya lima peratus syarikat pemula adalah berasaskan teknologi.

”Lebih banyak insentif perlu disediakan bagi mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berasaskan teknologi.

“Ini termasuk merangka strategi ekosistem inovasi terbuka bagi merancakkan inovasi negara menerusi penggemblengan idea semua pihak yang terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tiga buah entiti telah ditubuhkan untuk membangunkan ekosistem inovasi dalam negara.

Jelas beliau, antara entiti yang ditubuhkan adalah Unit Pengurusan Penyelidikan di bawah UPE JPM untuk menyelaras dan menyusun strategi penyelidikan negara.

Selain itu, katanya, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation di bawah program Pemecut Pengkomersialan Teknologi bertujuan merancakkan aktiviti pengkomersialan antara akademia dan industri.

Tambahnya, Malaysian Science Endowment di bawah seliaan MOSTI dan Akademi Sains Malaysia yang akan mewujudkan pembiayaan alternatif R&D dan C&I melalui kerjasama industri dan badan antarabangsa.

Up Next