5 mins read

Kerajaan lulus 99 projek R&D,C&I bernilai RM5.6 bilion

August 3, 2022
www.utusansarawak.com.my
5 mins read
KUALA LUMPUR, 2 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat ruang pameran selepas merasmikan Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, Aug 2 -- Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob visits the exhibition hall after officiating the Malaysia Innovation Conference 2022 at the Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) today.

--fotoBERNAMA (2022) COPYRIGHT RESERVED


KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan 99 projek dan program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta Pengkomersialan dan Inovasi (C&I) dengan kos berjumlah RM5.6 bilion bagi tujuan menyokong pembangunan inovasi di Malaysia, dalam tempoh 2021 hingga 2022 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga akan meningkatkan pengkomersialan dan memacu inovasi untuk menghasilkan lebih banyak produk dan penyelesaian berasaskan industri serta mempunyai nilai ditambah yang tinggi.

“Bagi tujuan ini, semua aktiviti R&D dan C&I akan dijajarkan dengan keutamaan negara.

“Pendigitalan, penerimagunaan teknologi dan inovasi adalah penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di sini semalam.

Menurut Ismail Sabri, aspek pengkomersialan akan diberi penekanan dengan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D adalah kepada penyelidikan pembangunan eksperimental.

Perdana Menteri berkata, tiga buah entiti telah ditubuhkan untuk membangunkan ekosistem inovasi iaitu Unit Pengurusan Penyelidikan di bawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk menyelaras dan menyusun strategi penyelidikan negara.

Unit kedua ialah Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation di bawah program Pemecut Pengkomersialan Teknologi bertujuan merancakkan aktiviti pengkomersialan antara akademia dan industri, katanya.

Beliau berkata, unit yang ketiga ialah Malaysian Science Endowment di bawah seliaan Kementerian Sains, Tekonolgi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia yang akan mewujudkan pembiayaan alternatif R&D dan C&I melalui kerjasama industri dan badan antarabangsa.

“Ketiga-tiga entiti perlu bekerjasama untuk memastikan hasil R&D dan C&I serta harta intelek menjadi produk nilai tambah yang tinggi, sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju berteraskan inovasi seperti Korea Selatan, Switzerland dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata, landskap R&D dan C&I Malaysia berbeza dengan negara-negara maju kerana hampir 80 peratus penyelidik di negara ini pada  2018 berada di institusi pengajian tinggi manakala 97.4 peratus usahawan datangnya daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Ismail Sabri berkata daripada kira-kira 5,435 syarikat pemula sejak 2010 hingga 2020, hanya lima peratus syarikat pemula adalah berasaskan teknologi.

“Bagi pendekatan jangka pendek dan sederhana, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik dan usahawan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan inovasi tempatan.

“Ini adalah sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 atau SUPER yang menyasarkan 5,000 buah syarikat pemula dan lima buah syarikat bertaraf unicorn bernilai lebih US$1 bilion menjelang  2025,” katanya.

Beliau berkata setakat ini Malaysia hanya mempunyai sebuah syarikat bertaraf unicorn iaitu CARSOME Sdn Bhd.

Oleh itu lebih banyak insentif perlu disediakan bagi mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berasaskan teknologi termasuk merangka strategi ekosistem inovasi terbuka bagi merancakkan inovasi negara menerusi penggemblengan idea semua pihak yang terbabit, katanya.

Ismail Sabri berkata, menerusi MOSTI dan Akademi Sains Malaysia sedang membangunkan Malaysian Open Science Platform untuk mempergiatkan perkongsian data antara penyelidik dan industri serta bidang keutamaan sains, teknologi dan inovasi negara juga sedang diselaraskan di bawah RMK-12.

Persidangan yang diadakan selama dua hari itu adalah usaha sama oleh EPU, JPM dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP). – Bernama

Up Next