5 mins read

Kerajaan lulus 99 projek inovasi bernilai RM5.6 bilion

August 2, 2022
Malaysia Gazette
5 mins read
MGF02082022_PM-RASMI-INOVASI13-681x454
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri di Jabagan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) meluangkan masa melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan 99 projek bagi program penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan dan inovasi (C&I) untuk sektor inovasi di Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhan projek yang dilaksana di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) tersebut berjumlah RM5.6 bilion.

Ismail Sabri menegaskan, sekurang-kurang 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D perlu menjurus kepada penyelidikan pembangunan eksperimental.

Ia juga bagi melahirkan lebih ramai pencipta teknologi serta usahawan teknologi tempatan bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D (GERD) kepada KDNK negara dijangka mencapai 2.5 peratus berbanding 1.04 peratus sahaja pada tahun 2018.


“Bagi tujuan ini, sumbangan sektor swasta disasarkan mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D dengan sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen juga dipertingkatkan,” katanya.

MGF02082022_PM-RASMI-INOVASI10-1024x683
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri di Jabagan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) melakukan gimik perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2022.

Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga Pengarah bagi Biro Asia Pasifik, Kanni Wignaraj.

Persidangan dua hari yang julung kali diadakan itu dianjurkan secara bersama oleh Unit Perancangan Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Program Pembangunan PBB (UNDP).

MGF02082022_PM-RASMI-INOVASI07-1024x683
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2022.

Ismail Sabri berkata, terdapat cabaran berkaitan inovasi yang perlu diatasi sebelum negara mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.

“Ini termasuklah pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah dalam R&D dan C&I berbanding dengan negara-negara maju.

“Contohnya pada tahun 2018, GERD Korea Selatan ialah 4.52 peratus, Jepun 3.22 peratus berbanding 1.04 peratus bagi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tiga buah entiti telah ditubuhkan untuk membangunkan ekosistem inovasi di Malaysia.

Ia melibatkan Unit Pengurusan Penyelidikan di bawah UPE JPM yang akan menyelaras dan menyusun strategi penyelidikan negara.

Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation di bawah program Pemecut Pengkomersialan Teknologi yang diwujudkan untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan antara akademi dan industri.

Turut ditubuhkan Malaysian Science Endowment di bawah seliaan Kementerian Sains Teknologi  dan Inovasi yang akan mewujudkan pembiayaan alternatif R&D dan C&I melalui kerjasama industri dan badan antarabangsa.

Ismail Sabri menegaskan, ketiga-tiga entiti itu perlu bekerjasama untuk memastikan hasil R&D dan C&I serta harta intelek menjadi produk nilai tambah yang tinggi.

Ia sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju berteraskan inovasi seperti Korea Selatan, Switzerland dan Singapura. – MalaysiaGazette

Up Next