5 mins read

Kerajaan Laksana 5 Inisiatif Pacu Agenda Pendigitalan Malaysia

September 6, 2022
Getaran
5 mins read

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan lima inisiatif menerusi kerjasama awam dan swasta bagi memacu agenda pendigitalan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) dipengerusikan beliau sendiri, yang turut dihadiri beberapa menteri, ketua jabatan dan agensi terlibat.

Katanya, iniatif pertama adalah membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) untuk menyokong ekosistem dron dan menjadikan ia sebagai agenda nasional.

Beliau berkata, industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

Jelasnya, bagi usaha itu, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) memainkan peranan sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 serta melaporkan kemajuan kepada ahli majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

“Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk menambah pendaftaran UAS menjelang tahun 2030.

“Mesyuarat juga mengambil maklum perkara dibangkitkan pemain industri, seperti kerenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata, inisiatif kedua adalah melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act-Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (National Data Sharing Policy – NDSP), bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

Inisiatif ketiga, katanya, menyaksikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus diperkasa melalui pendigitalan serta rangka kerja berintegrasi.

Bagi tujuan itu, jelasnya, satu mekanisme Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian (Online Dispute Resolution - ODR) diwujudkan untuk mengadili dan menyelesaikan tuntutan kecil serta meningkatkan aktiviti e-dagang merentas sempadan.

Ujarnya, penubuhan pusat sehenti (one-stop centre) juga akan mempermudah akses program sokongan pendigitalan kepada PKS.

Selain itu, beliau berkata, status pekerja ekonomi gig juga akan sentiasa dipantau untuk memastikan golongan terbabit mempunyai jaminan dari segi kewangan dan perlindungan undang-undang mencukupi.

“Keempat, kerajaan akan memperkukuhkan kerjasama dengan Microsoft Malaysia dalam bidang keselamatan siber dan kes penipuan dalam talian bagi menyokong visi pembangunan digital negara.

“Program akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada seluruh Keluarga Malaysia, termasuk forum kesedaran, bengkel kemahiran dan latihan teknikal bagi sektor awam serta swasta,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, inisiatif kelima adalah menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian (Sharing Economy Committee) diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia, bagi menyelaras inisiatif dan program berkaitan Ekonomi Perkongsian di peringkat nasional, membabitkan sektor awam, swasta, komuniti serta akademik.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Sementara itu, beliau berkata, Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan capaian liputan 5G di Malaysia mencapai 40 peratus menjelang akhir tahun 2022, selain 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2024.

“Capaian rangkaian 5G kini mencapai lebih daripada 30 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

“Kerajaan berharap program pendigitalan yang dilaksanakan pelbagai kementerian dan agensi akan terus dipertingkat dalam usaha mengekalkan momentum pendigitalan sedia ada, seterusnya memacu agenda pendigitalan negara,” katanya. – Getaran, 6 September 2022

Up Next