5 mins read

Kerajaan komited lahirkan 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi [METROTV]

October 6, 2022
Harian Metro
5 mins read

Kuala Lumpur: Kerajaan komited menyediakan infrastruktur terbaik untuk memacu inovasi tempatan dalam usaha melahirkan 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu diperlukan untuk Malaysia kekal bersaing dengan negara terkemuka dunia.

Menurutnya, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Malaysia kini hanya memiliki 29.6 peratus pekerja mahir.

Katanya, negara memerlukan sebuah taman teknologi yang menjadi titik pertemuan pemegang taruh antaranya inovator, penyelidik dan pelabur bagi mengukuhkan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) selain mampu menarik pelaburan langsung asing dan domestik bagi memacu ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.


Ismail Sabri berkata, kerajaan sudah meluluskan 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi bernilai RM5.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).


"Sumber manusia berkemahiran tinggi penting untuk ekosistem teknologi dan inovasi kembali dirancakkan.

"Pekerja yang berkemahiran tinggi ini bukan saja dikenal pasti menerusi bekalan bakat yang berterusan tetapi juga berusaha mengurangkan 'brain drain' dalam kalangan bakat hebat tempatan.

ISMAIL Sabri melancarkan pelan induk Taman Teknologi Mranti dan penjenamaan baharu MIMOS Berhad di Mranti Park Bukit Jalil. Turut hadir, Dr Adham  (dua dari kiri), Mustapa (dua dari kanan), Pengerusi Mranti, Tan Sri Shahril Shamsuddin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mranti, Dzuleira Abu Bakar. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri melancarkan pelan induk Taman Teknologi Mranti dan penjenamaan baharu MIMOS Berhad di Mranti Park Bukit Jalil. Turut hadir, Dr Adham (dua dari kiri), Mustapa (dua dari kanan), Pengerusi Mranti, Tan Sri Shahril Shamsuddin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mranti, Dzuleira Abu Bakar. FOTO Asyraf Hamzah

"Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan komited menyediakan infrastruktur terbaik untuk memacu inovasi tempatan," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pelan Induk Taman Mranti dan Penjenamaan Semula Mimos Berhad.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Mengulas lanjut mengenai Taman Mranti yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Teknologi Malaysia, Perdana Menteri berkata, lokasi itu akan menjadi hab inovasi terunggul di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada tiga teras pembangunan iaitu Inovasi, Kemampanan Alam Sekitar dan Budaya Urban.

Katanya, Pelan Induk baharu Taman Mranti akan memupuk keupayaan Malaysia dalam Revolusi Industri 4.0 dan juga teknologi terkini daripada sistem Internet Pelbagai Benda (IoT), perkhidmatan Protokol Internet (IP) selain makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih.

"Taman Mranti dilengkapi dengan infrastruktur moden, termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G serta insentif dan peluang pembiayaan yang direka untuk menarik golongan profesional muda serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi.

"Ia dijangka dapat mencipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu, dan ini adalah berita baik untuk seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata, penjenamaan semula Mimos Berhad kepada Mimos Global melambangkan imej baharu yang lebih meluas, bersesuaian dengan daya saing bidang teknologi yang tidak mengenal sempadan.

Up Next