5 mins read

Kerajaan bekerjasama dengan Microsoft atasi penipuan siber

September 6, 2022
www.edisi9.com.my
5 mins read

KERAJAAN akan memperkukuhkan kerjasama dengan Microsoft Malaysia dalam bidang keselamatan siber dan kes penipuan dalam talian bagi menyokong visi pembangunan digital negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, program yang akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk forum kesedaran, bengkel kemahiran dan latihan teknikal bagi sektor awam serta swasta.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Ismail Sabri dan dihadiri oleh menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan serta agensi yang terlibat.

Beliau berkata, satu mekanisme Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian (ODR) juga diwujudkan bagi mengadili dan menyelesaikan tuntutan kecil dan meningkatkan aktiviti e-dagang merentas sempadan.

Katanya, ia sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pendigitalan dan satu rangka kerja berintegriti.

“Penubuhan pusat sehenti juga akan mempermudahkan akses program sokongan pendigitalan kepada para PKS.

“Selain itu, status pekerja ekonomi gig juga akan sentiasa dipantau untuk memastikan golongan ini mempunyai jaminan dari segi kewangan dan perlindungan undang-undang yang mencukupi,” katanya menerusi satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara di Putrajaya. – Foto: PMO

Untuk rekod, pada tahun lalu, Malaysia mencatat lebih 20,000 kes jenayah siber yang menyebabkan kerugian sebanyak RM560 juta manakala pada 2019, kira-kira 13,000 kes dengan kerugian RM539 juta.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat bersetuju untuk membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) untuk menyokong ekosistem dron dan menjadikan MDTAP30 sebagai agenda nasional.

Katanya, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dilantik sebagai sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 yang akan melaporkan kemajuan kepada ahli Majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

“Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk
meningkatkan pendaftaran UAS menjelang tahun 2030.

“Mesyuarat juga mengambil maklum akan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri seperti kerenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara,” katanya.

Kata beliau, industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act – Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP).

Up Next