5 mins read

Kemboja: Sahabat akrab, jiran penting kita

February 23, 2022
Utusan Malaysia
5 mins read

KEMBOJA ialah negara anggota ASEAN keempat dilawati Ismail Sabri Yaakob sejak menjadi Perdana Menteri, Ogos tahun lalu. – AFP

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai seorang pemimpin yang menitikberatkan soal hubungan rapat dengan rakan anggota ASEAN. Dan lawatan beliau ke Kemboja hari ini pastinya akan dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan hubungan yang terjalin sejak 65 tahun lalu ke tahap lebih tinggi dan lebih matang serta saling menguntungkan antara satu sama lain.

Kemboja ialah negara anggota ASEAN yang keempat dilawati Ismail Sabri selepas Indonesia, Singapura dan Brunei sejak menjadi Perdana Menteri, Ogos tahun lalu.

Dalam rangka lawatan dua hari itu nanti, Ismail Sabri akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Hun Sen. Mereka dijangka berbincang beberapa isu berkaitan hubungan dua hala, perdagangan dan pelaburan, komoditi serta isu serantau.

Namun pada pertemuan empat mata itu, kedua-dua pemimpin berkenaan dijangka memberi fokus kepada sektor-sektor baharu yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara seperti industri halal yang kian meningkat sambutannya.

Bagi merancakkan industri halal negara, Perdana Menteri dijangka mengundang syarikat-syarikat dari Kemboja untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Ke-18 yang akan diadakan pada September ini. Syarikat-syarikat dari kedua-dua negara boleh meneroka dan menjalinkan perkongsian bagi memasuki pasaran halal menerusi Program Penyumberan Antarabangsa dalam MIHAS.

Malaysia boleh menawarkan khidmat nasihat kepada syarikat-syarikat Kemboja yang berhasrat mendapatkan pensijilian halal. Negara ini mempunyai penasihat-penasihat yang bertauliah di bawah Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA) yang disahkan oleh Majlis Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malaysia sentiasa menganggap Kemboja sebagai sahabat akrab dan jiran yang penting dengan kedudukan hubungan baik antara kedua-dua negara sama ada di peringkat dua hala mahupun ASEAN. Malaysia berpuas hati dengan hubungan erat dalam sektor perdagangan meskipun telah terjejas akibat pandemik Covid-19. Namun, ia masih menunjukkan peningkatan sebanyak 16.9 peratus pada 2021 berbanding 2020.

Kemboja adalah antara negara yang amat diminati oleh pelabur-pelabur kita, malah jumlah kumulatif pelaburan Malaysia di negara itu berjumlah AS$3.53 bilion (RM14.77 bilion) dan Malaysia adalah pelabur ketiga terbesar di Kemboja.

SEMPADAN

Malaysia dan Kemboja menandatangani Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA) pada 2019 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2021 bagi meningkatkan hubungan dagangan kedua-dua negara.

Malaysia mengalukan-alukan pembukaan sempadan oleh Kemboja pada November tahun lalu dan kita juga bercadang untuk membuka semula sempadan kepada Kemboja sedikit masa lagi. Apabila ini berlaku, diharapkan dapat meningkatkan aktiviti ekonomi dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri juga dijangka membangkitkan mengenai kerjasama penglibatan belia kedua-dua negara dalam bidang keusahawanan seperti termaktubnya dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara MRANTI (sebelum ini dikenali sebagai MaGIC Malaysia) dan Impact Hub Cambodia pada 2019 untuk mempertingkatkan start-up (permulaan) di kedua-dua negara.

Dalam isu serantau, Malaysia dan Kemboja berpandangan bahawa perpaduan dan kepaksian ASEAN adalah amat penting dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan, meningkatkan perkembangan ekonomi dan kemajuan sosial serta mempromosi aspirasi, cita-cita dan kepentingan ASEAN.

Malaysia akan terus memberi sokongan kepada Kemboja termasuk Utusan Khas Pengerusi ASEAN berkenaan Myanmar bagi mendukung mandat yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN.

Malaysia juga akan memohon kerjasama dan jasa baik Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN serta rakan yang rapat dengan Malaysia untuk terus membantu mengetengahkan isu Rohingya dan menggalakkan usaha-usaha ke arah menyelesaikan krisis kemanusiaan di Wilayah Rakhine.

Pada masa sama, Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman dan semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif.

Ismail Sabri juga dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan Keluarga Malaysia serta komuniti perniagaan yang menetap di Kemboja. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pejabat Perdana Menteri.

Up Next