5 mins read

Hab NTIS pacu teknologi kesihatan

September 7, 2022
Utusan Malaysia
5 mins read
DR. ADHAM pada sesi pelancaran Hab Teknologi Kesihatan NTIS dan Kluster Penjagaan Kesihatan Bersepadu MRANTI di Bukit Jalil, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang dicadangkan di Hospital Rembau, Negeri Sembilan; Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara, Putrajaya; Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur dan Hospital Bera, Pahang mampu menghasilkan inovasi perubatan serta penjagaan kesihatan mampu milik, selain memacu pengkomersialan teknologi kesihatan.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Hab Teknologi Kesihatan NTIS diwujudkan bagi menangani cabaran sektor perubatan dan penjagaan kesihatan menerusi pendekatan inovatif serta pengawalseliaan bagi teknologi berkaitan.

Menurutnya, ia membolehkan penciptaan inovasi dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan melalui rangkaian inovasi yang diterajui oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

“MRANTI merupakan agensi di bawah MOSTI, yang menawarkan persekitaran selamat untuk test bedding bagi pengujian teknologi kesihatan.

“Ia akan memberi sokongan terhadap pengembangan modal insan dalam kemajuan teknologi baharu, serta memudahkan perbincangan berkaitan pengawalseliaan antara inovator dan agensi pengawal selia,” katanya dalam ucapan perasmian Hab Teknologi Kesihatan NTIS dan Kluster Penjagaan Kesihatan Bersepadu MRANTI di Bukit Jalil, baru-baru ini.

Hab Teknologi Kesihatan NTIS akan memberi tumpuan kepada pembangunan sebuah ekosistem lengkap dengan kemudahan hospital, pusat penyelidikan dan rujukan, tenaga kerja berkemahiran tinggi, pusat inovasi, pusat ilmu dan latihan

Adham menambah, pihaknya melancarkan NTIS pada 2020 dengan misi membantu lebih banyak syarikat teknologi tempatan menceburi pasaran dengan mengalihkan kawal selia serta halangan kemasukan, selain menyediakan kesedaran penggunaan teknologi yang diperlukan.

“Kemasukan terbesar dalam NTIS hadir daripada sektor teknologi kesihatan, melibatkan 47 syarikat yang mewakili 40 peratus daripada keseluruhan permohonan diluluskan.

“Daripada jumlah ini, 19 buah syarikat telah menerima pendanaan dan empat lagi sudah menyiapkan projek mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar berkata, Hab Teknologi Kesihatan NTIS akan dilengkapkan dengan Kluster Penjagaan Kesihatan Bersepadu MRANTI seluas 4.04 hektar.

Jelasnya, MRANTI komited untuk menyokong misi MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia ke arah ekuiti kesihatan melalui teknologi dan inovasi.

“Kluster ini dirumus berdasarkan pendekatan 4R (research, remedy, recuperate & rehabilitate) yang menggabungkan perkhidmatan perubatan hujung-ke-hujung dengan cara lebih holistik dalam perspektif paling praktikal, berdaya maju dan strategik.

“Ia akan memberi tumpuan kepada segmen perubatan yang tidak ditangani secara strategik dalam kesihatan awam, penyakit jarang & berjangkit serta melengkapi inisiatif, atau projek berkaitan perubatan yang lain.

“Kami mahu syarikat dan inovator teknologi kesihatan yang terbaik dan paling produktif menjadikannya sebagai tapak pelancaran mereka,” ujarnya.

Up Next