5 mins read

Bajet 2023: Elaun sara hidup JPA bagi pelajar, pegawai naik RM100

October 7, 2022
Harian Metro
5 mins read

Kuala Lumpur: Kadar Elaun Sara Hidup tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelajar dan pegawai dalam negara akan diseragamkan dan dinaikkan RM100 sebulan bagi semua peringkat pengajian.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata ia menjadikan Elaun Sara Hidup tajaan JPA adalah antara RM730 hingga lebih RM980 sebulan.

Beliau berkata ia adalah tambahan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menaikkan Elaun Sara Hidup bagi pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Petronas.

Tengku Zafrul berkata bagi tahun hadapan, Kementerian Pengajian Tinggi akan diperuntukkan RM15.1 bilion dengan RM3.8 bilion disediakan sebagai biasiswa dan pinjaman pendidikan bagi memastikan anak-anak Keluarga Malaysia meneruskan pengajian ke menara gading.

"Tahun hadapan, sebahagian besar daripada peruntukan RM6.6 bilion kepada Mara, Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah untuk menyediakan Bumiputera dengan akses pinjaman pendidikan serta peluang mengikuti bidang profesional seperti kejuruteraan," katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menggalakkan universiti awam membudayakan inisiatif kampus hijau dan lebih RM300 juta disediakan bagi kerja-kerja menaik taraf serta menyelenggara kemudahan universiti awam.

Katanya, RM35 juta pula disediakan bagi meneruskan projek Malaysia Research and Education Network (MYREN) di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti untuk menaik taraf kapasiti bandwidth.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) diperuntukkan RM364 juta dan diterajui KPT dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan RM50 juta antaranya melaksanakan pembangunan dan pengkomersialan nanoteknologi di bawah NanoMalaysia Berhad dengan peruntukan RM16 juta dan memacu inovasi perniagaan melalui Skim Insentif penyelidikan bagi perusahaan dengan peruntukan RM5 juta.

"Kerajaan juga menyediakan Dana Modal Teroka bagi membiayai melalui suntikan ekuiti dalam syarikat berteknologi tinggi sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan tenaga boleh diperbaharui dengan ketersediaan dana RM10 juta," katanya.

Selain itu, kerajaan akan menjayakan Malaysia Techiympics 2023 bagi menyokong idea inovasi dengan peruntukan RM7 juta sementara Cradle Fund sebagai agensi penyelaras ekosistem startup Malaysia akan disediakan peruntukan RM50 juta bagi membantu lebih banyak syarikat pemula berinovasi berjaya di peringkat antarabangsa.

Tengku Zafrul turut mengumumkan DE Rantau akan menyediakan enam lokasi baharu membabitkan 2,000 Penginapan Sewa Pendek dan kerajaan menyediakan peruntukan awal RM18 juta bagi memulakan transformasi Taman Teknologi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

Up Next