5 mins read

Aplikasi PandaiBola bantu cari bakat baharu

March 29, 2022
Berita Harian
5 mins read


KUALA LUMPUR: Program pencarian bakat baharu dalam sukan bola sepak bakal menjadi lebih mudah menerusi aplikasi PandaiBola yang sedang dibangunkan oleh My EduSoccer Sdn Bhd.

Ketua Pengarah Eksekutif My EduSoccer, Muhamad Yazid Yahaya, berkata aplikasi itu dibangunkan berpandukan program fizikal, latihan secara maya dan sistem rubrik yang mereka hasilkan.

"Aplikasi ini akan membantu menganalisa perkembangan pemain berdasarkan data dan maklumat yang dikumpulkan. Pada masa yang sama, PandaiBola juga berupaya menjadi platform untuk mengasah bakat para pemain," katanya.

Beliau, berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik PandaiBola di Auditorium Resource Centre, Mranti Technology Park di sini, baru-baru ini.

Majlis menandatangani kerjasama strategik berkenaan mengumpulkan lebih dari sebelas rakan kongsi strategik dalam membantu membangunkan aplikasi PandaiBola.

Aplikasi PandaiBola dibangunkan oleh anak tempatan yang mana pada peringkat awal pembangunan itu berfungsi menerusi pengumpulan data berbentuk video dan gambar yang kemudiannya akan dianalisa oleh kumpulan pakar yang terdiri daripada jurulatih yang memegang lesen jurulatih AFC B menerusi sistem rubrik oleh The Sekolah Bola.

PandaiBola juga bertindak sebagai satu platform yang bukan sahaja mampu melatih pemain secara lebih sistematik malahan memudahkan ibu bapa untuk mengenal pasti prestasi pemain selain dapat mencungkil bakat pemain di peringkat awal.

"Modul yang kita bangunkan memerlukan peserta melakukan tugasan tertentu, yang mana analisa akan dijalankan oleh para pakar kami menggunakan sistem Rubrik," kata Yazid.

Sementara itu, MyEdusoccer berjaya mendapat geran daripada Teraju Agenda Bumiputera (Teraju) milik kerajaan bagi membangunkan aplikasi untuk latihan bola sepak.

Up Next