5 mins read

5G tawar kemungkinan tanpa batasan untuk Malaysia

July 25, 2022
Berita Harian
5 mins read

SYARIKAT telekomunikasi terkemuka, Ericsson menyatakan komitmen dan sokongan penuh kepada Digital Nasional Berhad (DNB) dalam pelaksanaan rangkaian bertaraf dunia yang bakal memacu manfaat 5G di Malaysia.

Perkara itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson, Börje Ekholm ketika kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini.

Dengan kadar pelaksanaan 5G di Malaysia yang menjadi antara projek terpantas di dunia, Ekholm turut berpuas hati apabila liputan rangkaian berkenaan tersedia dalam tempoh hanya enam bulan selepas kontrak dianugerahkan kepada Ericsson.

"Usaha kerajaan untuk memacu 5G dan perkembangan positif dalam kalangan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) akan melengkapkan aspirasi digital negara dan menambah baik ketersambungan untuk pengguna akhir," katanya.

Tambah Ekholm, Ericsson berada di landasan kukuh bagi melancarkan kira-kira 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di Malaysia menjelang akhir 2024.

Menerusi operasi bekalan globalnya, Ericsson memberi jaminan untuk membekalkan produk yang canggih serta bertaraf dunia secara pantas dan konsisten supaya DNB dapat mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.

"Malaysia adalah pasaran penting bagi Ericsson dan kami sudah memulakan pengeluaran radio 5G di sini yang bakal diperluaskan lagi tahun ini," kata Ekholm.

Dengan 125 rangkaian langsung di 55 negara, Ericsson bukan sahaja menjadi peneraju global 5G, bahkan diiktiraf sebagai peneraju industri apabila menduduki tempat teratas dalam 'Frost Radar™: Global 5G Network Infrastructure Market bagi tahun kedua berturut-turut.

Malah, syarikat itu juga dinobatkan sebagai pemimpin dalam laporan 2022 Magic Quadrant for 5G Network Infrastructure for Communications Service Providers oleh Gartner.

"Kepimpinan global 5G dan teknologi kami adalah hasil pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan dan meluas. Lebih daripada satu perempat tenaga kerja global Ericsson kini berkhidmat dalam R&D," katanya.

Menurut Ekholm, Ericsson melabur lebih daripada 18 peratus pendapatan globalnya dalam R&D dan memiliki lebih daripada 60,000 paten yang diluluskan di seluruh dunia, menjadikannya pemegang portfolio paten yang terbesar dalam industri.

Syarikat itu juga menjadi pemilik kebanyakan paten 5G yang penting. Justeru katanya, tidak hairan jika Ericsson menerajui beberapa pencapaian teknikal yang bermakna dalam pelancaran rangkaian 5G di Malaysia.

Aplikasi teknologi Pembahagian Sumber Radio Dinamik oleh Ericsson pada Rangkaian 5G DNB adalah yang pertama seumpamanya di dunia, membolehkan kesemua enam MNO menyampaikan perkhidmatan 5G yang diperibadikan dengan prestasi terjamin.

Inovasi ini juga membolehkan setiap MNO membezakan tawarannya kepada pengguna pada rangkaian 5G yang dikongsi.

Baru-baru ini, Ericsson dan DNB mendemonstrasikan panggilan Voice over New Radio (VoNR) negara yang pertama menerusi rangkaian 5G langsung.

Ini bakal menjadi penggerak bagi aplikasi generasi akan datang yang menawarkan pengalaman yang lebih realistik dengan gabungan kelajuan pantas dan audio definisi tinggi.

Ekosistem 5G

Ketika Ericsson menyerlahkan keutuhan teknologinya, syarikat itu juga komited membina ekosistem 5G di negara ini.

Ericsson bekerjasama dengan DNB dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) bagi merancakkan pembangunan kluster inovasi di kampus menerusi penggunaan 5G.

Ini akan menyokong syarikat baharu dan usahawan teknologi tempatan dengan pembangunan dan kesediaan 5G, seterusnya melahirkan kes penggunaan yang menarik serta memacu penerapan 5G di negara ini.

Pada masa sama, Ericsson, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan DNB bekerjasama untuk mendidik pelajar di Malaysia mengenai 5G dan teknologi baharu yang lain.

Kerjasama itu dijangka akan memanfaatkan sehingga 1,200 pelajar pada tahun pertama dan akan membolehkan pelajar UTM mengambil bahagian serta menyumbang kepada ekonomi digital negara dan transformasi Industri 4.0.

Ericsson juga menubuhkan pusat inovasi Malaysia yang pertama di UTM pada 2016 untuk menyelidik dan menguji teknologi 5G.

Setakat ini, komitmen Ericsson di Malaysia meningkat secara ketara. Syarikat itu membuka sebuah kemudahan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengembangkan kapasiti pengedaran serantaunya.

Pada masa sama, ia akan meningkatkan peranan strategik Malaysia dalam keupayaan syarikat untuk menyokong kelancaran operasi rangkaian pelanggan di rantau Asia Pasifik.

Pusat Pengedaran Ericsson di Malaysia bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada lebih 20 negara dan menguruskan inventori perkakasan dan alat ganti merentasi rantau ini.

Kemudahan pengedaran baharu itu akan melengkapkan Pusat Penyelenggaraan dan Sokongan di Malaysia, membolehkan Ericsson menaik taraf penyampaian perkhidmatan sokongan kepada pelanggan.

"Pengeluaran dan pelancaran rangkaian 5G oleh Ericsson serta penubuhan kemudahan pengedaran baharu kami akan mewujudkan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung untuk warga Malaysia. Kami juga sedang berusaha ke arah mengukuhkan ekosistem vendor tempatan tatkala melebarkan sayap 5G kami ke negara ini," katanya

Berdasarkan rekod, sekitar 90 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan Ericsson bagi perkhidmatan projek rangkaian 5G telah diperuntukkan kepada syarikat pembekal di Malaysia.

Menyedari kepentingan 5G sebagai platform inovasi terbuka, Ekholm yakin ia akan menyemarakkan transformasi digital Malaysia dan membantu negara bersiap siaga mendepani Industri 4.0, dengan kelajuan yang baik, kependaman ultra-rendah, kapasiti rangkaian lebih besar, serta keselamatan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi.

"Pandemik COVID-19 memacu digitalisasi dan ia bukan sahaja membuktikan kepentingan infrastruktur digital malah mentakrifkan semula hubungan kami dengan kerja, pendidikan dan satu sama lain.

"Sepanjang 2021, kerajaan di seluruh dunia terus menjadikan infrastruktur tanpa wayar sebagai asas pelan pemulihan pandemik dan pertumbuhan ekonomi masing-masing," katanya.

Liputan rangkaian 5G memainkan peranan penting memandangkan peralihan Malaysia dalam tempoh pemulihan ekonomi pasca pandemik, terutama dengan kemunculan kes penggunaan baharu dalam konteks perusahaan.

Malah, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, 5G akan menyumbang RM8.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025. Justeru, penting untuk melancarkan rangkaian itu secepat mungkin dan memanfaatkan teknologi baharu.

5G diyakini akan membantu merapatkan jurang digital di Malaysia. Berbekalkan teknologi pemboleh seperti Akses Tanpa Wayar Tetap (FWA), pengguna yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan luar bandar mampu mendapat kemudahan sambungan jalur lebar ke rumah mereka, sebagai alternatif yang cekap, mudah dan kompetitif berbanding fiber.

"Pelancaran 5G oleh DNB dan Ericsson akan memperkasakan Malaysia dengan keupayaan untuk memacu ke hadapan di rantau ini sekali gus membolehkan negara mencapai objektifnya ke arah transformasi ekonomi digital.

"5G sudah pasti akan mendigitalkan masyarakat Malaysia dan memupuk pembangunan yang inklusif di negara. Dengan adanya 5G, kemungkinan yang tanpa batasan sedang menanti di masa hadapan," katanya.

Up Next