5 mins read

5 hospital dijadikan hab Kesihatan NTIS [METROTV]

September 2, 2022
Harian Metro
5 mins read

Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) mengenal pasti lima hospital untuk dijadikan sebagai Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, NTIS bakal dibangunkan di tiga lokasi dalam bandar, iaitu di Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara dan Hospital Tunku Azizah, iaitu Hospital Wanita dan Kanak-kanak di sini.

Beliau berkata, ketiga-tiga lokasi itu dipilih atas kesediaan infrastruktur teknologi, tenaga mahir, integrasi dengan teknologi semasa seperti Internet dan 5G, perkakasan dan pemahaman teknologi terkini.

Manakala, katanya, lokasi luar bandar terletak Hospital Bera di Pahang yang dikenal pasti bagi pengujian teknologi seperti robot, Internet Kebendaan (IoT) Perubatan, dan kemudahan 4G serta 5G.

Menurut beliau, keempat-empat lokasi itu akan dikenali sebagai pusat sehenti bagi sektor kesihatan untuk mencungkil potensi bagi menghadapi cabaran sektor kesihatan yang semakin meningkat dalam negara, menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan berkualiti tinggi untuk negara, dengan teknologi dan inovasi.

"Hab ini salah satu inisiatif yang kami (Mosti dan KKM) sama-sama bincang agar beberapa hospital dapat kita naikkan taraf menjadi hospital berteknologi tinggi.

"Hab ini akan disokong oleh Kluster Penjagaan Kesihatan Bersepadu MRANTI seluas kira-kira 4.1 hektar yang membabitkan beberapa komponen seperti pusat penyelidikan, hospital AI-Tech dan perkampungan pemulihan dan rehabilitasi.

"Kita mahu melihat pelaksanaannya nanti membabitkan pendekatan baru," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran NTIS di MRANTI Park, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

KHAIRY bersama Adham pada Majlis Pelancaran NTIS. FOTO Azhar Ramli
KHAIRY bersama Adham pada Majlis Pelancaran NTIS. FOTO Azhar Ramli

Turut diadakan sempena majlis berkenaan adalah pertukaran Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara MRANTI dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Dr Adham, NTIS juga memberi tumpuan kepada pembangunan sebuah ekosistem yang lengkap dengan kemudahan hospital, pusat penyelidikan dan rujukan, tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, pusat inovasi, pusat ilmu dan latihan, serta lain-lain yang berkaitan.

"Melalui pelaksanaan sandbox di hospital, Mosti komited dalam membangunkan beberapa teknologi inovatif yang dapat mengukuhkan lagi sistem penjagaan kesihatan kita.

"Pertama, Mosti akan memperkenalkan penggunaan robotik seperti kenderaan pandu automatik (Automated Guided Vehicle) dan drpn dilengkapi dengan kepintaran (AI) yang disesuaikan dengan kegunaan di fasiliti kesihatan KKM.

"Teknologi itu boleh membantu warga KKM daripada segi pembersihan, nyahkuman dan penyelenggaraan fasiliti. Kedua, penggunaan sistem Unmanned Aerial Surveillance untuk memantau kawasan pembiakan Aedes di kawasan yang sukar dimasuki oleh petugas kesihatan seperti bumbung rumah dan bangunan tinggi," katanya.

Beliau berkata, kewujudan NTIS akan mempercepatkan penciptaan, penerimaan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi tempatan di dalam sektor kesihatan tanpa menjejaskan tempoh ujian klinikal sedia ada.

"Secara tidak langsung, hab ini juga dapat memberikan faedah kepada para pengguna untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan.

"Manakala daripada segi kesihatan awam, teknologi itu penting untuk menyokong usaha pencegahan penyakit yang dibawa oleh vektor seperti serangga dan haiwan perosak," katanya.

Up Next