5 mins read

5 hospital bakal dijadikan hab teknologi kesihatan kualiti tinggi

September 2, 2022
KOSMO Online
5 mins read
Hospital Putrajaya salah sebuah daripada lima hospital yang terlibat dalam pelaksanaan Hab Teknologi Kesihatan NTIS.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Kementerian Kesihatan (KMM) mengumumkan lima buah hospital akan dijadikan sebagai Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di negara ini.

Pelaksanaan Hab Teknologi Kesihatan NTIS dicadangkan akan berada di Hospital Rembau, Negeri Sembilan, Hospital Putrajaya di Institut Kanser Negara, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur di Hospital Wanita dan Kanak-kanak serta Hospital Bera, Pahang.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, lokasi ini dipilih atas kesediaan infrastruktur teknologi, tenaga mahir, integrasi dengan teknologi semasa seperti internet dan 5G, perkakasan dan pemahaman teknologi terkini.

“Lokasi ini akan dikenali sebagai pusat sehenti sektor kesihatan yang menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dengan teknologi dan inovasi.

“Hab Teknologi Kesihatan NTIS bermatlamat untuk memacu pengujian dan pengkomersialan inovasi teknologi kesihatan di dalam persekitaran yang selamat dan dikawal selia,” katanya ketika merasmikan pelancaran Hab Teknologi Kesihatan NTIS, di sini, hari ini.

Tambah beliau, MOSTI komited dalam membangunkan beberapa teknologi inovatif yang dapat mengukuhkan lagi sistem penjagaan kesihatan rakyat negara ini.

“Penubuhan Hab Teknologi Kesihatan NTIS akan mempercepatkan penciptaan, penerimaan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi tempatan di dalam sektor kesihatan tanpa menjejaskan tempoh ujian klinikal sedia ada.

“Faedah yang dapat daripada Hab ini adalah penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan dan menyokong usaha-usaha pencegahan penyakit yang dibawa oleh vektor-vektor seperti serangga dan haiwan perosak,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr. Adham menyatakan Hab Teknologi Kesihatan NTIS, merupakan satu inisiatif MOSTI, dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) selaku Sekretariat Utama

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hab yang bertunjangkan Internet of Medical Things (IoMT) ini, akan membentuk satu ekosistem yang saling berkait menerusi rangkaian komputer dalam talian.

“Hab ini berupaya mempertingkatkan pengurusan ubat, diagnosis dan rawatan dan pemantauan penyakit kronik dari jarak jauh.

“Justeru, ini bakal memudah cara isu pengawalseliaan merangkumi Akta Racun 1952, Akta Teleperubatan 1997 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Up Next