PETALING JAYA: Tiga anak muda membuktikan kemampuan rakyat Malaysia setanding penyelidik antarabangsa menerusi penghasilan teknologi pengecasan tanpa wayar untuk kegunaan di angkasa dan bulan dengan lebih cekap.
Bank kuasa tanpa wayar untuk satelit itu dihasilkan Muhammad Mohd Kamil, Muhammad Razlan Dhamir Hamdan dan Lee Guo Rui, kesemuanya berusia 29 tahun yang berlatarbelakangkan kejuruteraan perisian serta pemasaran.
Layak ke Startup World Cup yang menghimpunkan pemula dari seluruh dunia pada 1 Dis lalu, projek itu turut menarik perhatian Astrolab, syarikat yang telah menandatangani perjanjian dengan SpaceX untuk membawa perayau (rover) pertamanya ke bulan pada penerbangan Starship, dijangka dua tahun lagi.
Idea menghasilkannya bermula dari Razlan yang meminati bidang angkasa dan mendapat inspirasi kejayaan Neil Armstrong menjadi orang pertama mendarat di bulan, disambut Muhammad dan Lee yang juga mesra dipanggil Justin.
Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjelaskan secara umumnya produk itu membabitkan pembinaan stesen pengecasan menghubungkan satelit tetapi tidak menggunakan wayar sepanjang 10 km sebaliknya isyarat radio yang konsepnya sama seperti mengecas telefon pintar menggunakan bank kuasa secara tanpa wayar.
“Teknologi biasa sangat besar dan tidak cekap tenaga elektrik kerana contohnya hendak hantar 100 watt tenaga (ke angkasa) tetapi kemungkinan pelanggan tak dapat sepenuhnya, kita pula dapat salur semuanya,” kata Razlan kepada FMT.
Muhammad pula memberitahu bahawa teknologi mereka ini mendapat perhatian Astrolab, yang menandatangani perjanjian dengan SpaceX untuk mengangkut perayau pertamanya ke bulan pada 2026.
“Kami ada persetujuan harapnya kami boleh buat ‘moon testing technology’ kami dekat sana. Juga pada waktu itu, sebelum kami nak dapat pelanggan kami, kena cuba dulu technology kita dekat sekitar itu.”
Muhammad percaya usaha mereka ini akan dapat menyahkan anggapan bahawa rakyat Malaysia sekadar pengguna teknologi, tanpa menyumbang apa-apa kepada kemajuan teknologi manusia.
“Satu topik yang selalu keluar adalah ‘Malaysia is technological user country, not a technological developing one’, jadi ini sangat membimbangkan sebab kita hanya nak beli teknologi yang beroperasi di Malaysia sahaja, tidak ramai orang Malaysia yang sanggup berani nak buat teknologi sendiri.
“Jadi bagi saya, aspirasi saya untuk membuat benda ini adalah untuk menggalakkan lagi ramai orang untuk buat teknologi sendiri, sebab kalau kami berani nak buat benda yang luar angkasa, harap-harap orang lain pun sekurang-kurangnya berani nak buat biarpun dalam bumi,” ujarnya. -FMT