5 mins read

100,000 peluang kerja dalam industri dron menjelang 2030

September 6, 2022
Harian Metro
5 mins read

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) bagi menyokong ekosistem dron sebagai agenda nasional.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), hari ini.

Menurutnya, industri dron di negara ini berpotensi menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM50.71 bilion dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

"Sebaik dilaksanakan, agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 iaitu Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan melaporkan kemajuan kepada Ahli Majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

"Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan proses pendaftaran operator dron untuk meningkatkan pendaftaran menjelang 2030.


"Mesyuarat juga mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri seperti karenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat yang dipengerusikan beliau juga bersetuju melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Akta Omnibus-Sektor Awam (Perkongsian Data) melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP) bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

Menurutnya, selain itu, satu pusat sehenti Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) bagi memudahkan akses program sokongan pendigitalan dan mekanisme Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian (ODR) bagi mengadili dan menyelesaikan tuntutan kecil serta meningkatkan aktiviti e-dagang merentas sempadan akan diwujudkan.

"Kerajaan juga akan memperkukuhkan kerjasama dengan Microsoft Malaysia dalam bidang keselamatan siber dan kes penipuan dalam talian bagi menyokong visi pembangunan digital negara.

"Program akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk forum kesedaran, bengkel kemahiran dan latihan teknikal bagi sektor awam serta swasta," katanya.

Katanya, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menyelaras inisiatif dan program berkaitan Ekonomi Perkongsian membabitkan sektor awam, swasta, komuniti serta akademik.

Sementara itu, beliau berkata, tahap liputan 5G disasar mencapai 40 peratus menjelang akhir tahun ini dan sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2024.

Menurutnya, setakat ini ia sudah mencapai lebih daripada 30 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

"Kerajaan berharap program pendigitalan yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi akan terus dipertingkatkan dalam usaha mengekalkan momentum pendigitalan sedia ada seterusnya memacu agenda pendigitalan negara," katanya.

Up Next