5 mins read

100,000 pekerjaan bakal diwujud melalui industri dron – Dr Adham

April 29, 2022
Sabah Baru News
5 mins read

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan diwujudkan melalui industri dron di Malaysia selain menyumbang RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2030, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata justeru itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan menerajui pembangunan industri teknologi dron (DroneTech) tempatan.

Dr Adham berkata ia bertujuan membangunkan lima juara DroneTech bertaraf antarabangsa di samping menempatkan Malaysia antara 10 negara teratas di dunia untuk kesediaan dron (peraturan) dan penggunaan dron (pasaran) menjelang 2030.

“Bidang tumpuan terpilih untuk pembangunan dron secara intensif melibatkan sektor pertanian, logistik, media kreatif dan rekreasi, pemuliharaan alam sekitar, pertahanan dan maritim, kawalan penyakit, mitigasi dan bantuan bencana, perancangan harta tanah dan pembinaan serta tenaga,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perbincangan sedang giat dijalankan bersama Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta badan terlibat dalam sektor penerbangan termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selain Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Perbincangan itu dalam usaha menambah baik proses permohonan permit penerbangan dron sama ada untuk tujuan rekreasi, industri atau sebagainya.Kini terdapat lebih 200 syarikat teknologi dron dikenal pasti di Malaysia.

Dr Adham turut memaklumkan 25 aplikasi teknologi dron telah diluluskan di empat Persekitaran Sandbox dalam tempoh 18 bulan lepas melalui Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang diterajui MOSTI serta dikelola oleh MRANTI.

Beliau berkata syarikat terbabit menerima sokongan dari segi pembiayaan untuk pengkomersialan, bantuan pengawalseliaan dan pembangunan pasaran dalam sektor pertanian, perhutanan, bandar pintar serta pengangkutan.

“Melalui beberapa tapak sandbox ini, dron akan melalui ujian tekanan dalam persekitaran sebenar bagi kegiatan penuaian, pergudangan dan banyak lagi,” katanya.

Selain itu, Living Labs yang disediakan di MRANTI Park menawarkan kemudahan 4IR bersepadu termasuk MakersLab, Pusat Kecemerlangan Dron, Pusat Pembangunan 5G, Teknologi BioSains dan Penjagaan Kesihatan yang sedang giat dibangunkan sehingga tahun 2025.

Sebelum ini, MOSTI mengumumkan rancangan untuk memperkenal sukatan industri dan teknologi dron dalam pelajaran Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) bagi melahirkan lebih ramai pemain industri pada masa akan datang selain menyasar menghasilkan 1,000 juruterbang dron tahun ini.– BERNAMA

Up Next